Followers

ziddu

Friday, November 07, 2008

Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji


Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji

May 25, 2007, 9:36 am

Bersama Tabung Haji
Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

MASALAH haid kadangkala mengganggu kelancaran wanita mengerjakan ibadat haji dan umrah. Oleh itu, satu kefahaman dalam masalah ini perlu difahami dan diberi perhatian oleh wanita.

Wanita yang didatangi haid diharam sembahyang, puasa, tawaf, duduk dalam masjid, bersetubuh, menyentuh dan membaca Al-Quran.

Darah haid keluar paling minimum ialah satu hari satu malam (24 jam), manakala tempoh maksimum ialah 15 hari 15 malam dan tempoh kebiasaannya antara tiga hingga tujuh hari mengikut kebiasaan individu.

Jika haid keluar satu hari satu malam kemudian berhenti satu hari satu malam atau darah haid keluar dua atau tiga hari, kemudian berhenti dua hari secara umum, Mazhab Syafi’e berpendapat hari yang darah keluar dan hari darah berhenti dikira tempoh haid.

Dalam Al-Iqna ditambah tiga syarat :

  • Hari darah terhenti dan hari darah keluar tidak melebihi 15 hari.
  • Tempoh darah terhenti dan keluar tidak kurang daripada satu hari atau satu malam iaitu tempoh minimum haid.
  • Hari suci atau tempoh suci yang menyelangi antara dua haid tidak kurang daripada 15 hari.
  • Tempoh suci antara dua haid ialah 15 hari. Ulama fiqh bersepakat bahawa warna darah haid pada hari kebiasaan ialah kehitaman, merah, kuning dan keruh. Warna kuning dan keruh yang keluar hari kebiasaan haid dikira sebagai darah haid.

Darah yang keluar selepas hari kebiasaan haid tidak dikira sebagai haid. Oleh itu, jika masalah itu berlaku ke atas jemaah haji ketika berada dapatlah melakukan ibadat di Makkah dengan sempurna tanpa ragu-ragu.

Tanda wanita suci daripada haid ialah kering tempat darah keluar (faraj) tanpa ada kesan warna darah, sama ada merah, kuning atau keruh yang tinggal pada kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari. Jika kapas atau yang seumpamanya itu didapati basah dan tidak ada kesan warna seperti di atas, itu juga sudah dianggap suci.

Putih bersih bermaksud apabila kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari didapati putih, bersih, kering atau masih ada kebasahan yang putih jernih ia juga dianggap bersih.

Permasalahan wanita dalam haid ialah :

  • Keluar darah selepas tempoh maksimum haid

Bagi wanita yang pertama kali datang haid, Mazhab Syafi’e berpendapat, hendaklah mengira darah haidnya satu hari satu malam saja iaitu tempoh minimum haid. Darah keluar selepas satu hari satu malam adalah dikira sebagai darah istihadah.

Bagi wanita pertama kali datang haid tetapi dapat membezakan antara darah haid atau tidak, maka Syafi’e mensyaratkan dengan tiga syarat iaitu tempoh darah yang keluar tidak kurang daripada tempoh minimum haid (24 jam), darah yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid (15 hari) dan tidak kurang daripada tempoh minimum suci antara dua haid.

Bagi wanita yang sudah biasa mengalami haid dan dapat atau tidak dapat membezakan warna darah. Wanita ini hendaklah mengira tempoh haid mengikut kebiasaan haidnya. Darah yang keluar melebihi hari kebiasaan haidnya hendaklah dikira sebagai darah istihadah.

  • Darah yang keluar ketika hamil

Wanita yang keluar darah ketika hamil adalah darah haid. Dalam Ashab Al-Syafie berpendapat jika wanita hamil mendapati darah keluar seperti hari kebiasaan haidnya dan sifat darah itu juga sama dengan sifat darah haid, maka darah itu dikira sebagai darah haid. Jika darah itu keluar pada hari yang bukan hari kebiasaan haid, maka darah itu bukan darah haid.

  • Darah keluar selepas putus haid

Tiada had pada tempoh haid. Namun, umur kebiasaan bagi perempuan putus haid adalah di antara umur 49 hingga 62 tahun. Walau bagaimanapun, menurut pandangan perubatan, putus haid berlaku apabila tiada lagi benih aktif yang dapat mengeluarkan hormon. Jika ada, mungkin tidak aktif.

Kebanyakan wanita Malaysia putus haid pada purata umur 49 hingga 50 tahun. Pada pandangan perubatan, wanita akan dikira benar-benar putus haid apabila tiada haid selama enam bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, jika ada haid lagi selepas putus haid, ia bukan darah haid tetapi darah penyakit. Oleh itu, pemeriksaan dengan doktor perlu untuk menentukan darah itu darah haid atau tidak.

  • Angin keluar melalui (qubul) faraj

Pada pandangan Mazhab Syafi’e, angin yang keluar daripada faraj wanita atau zakar lelaki adalah batal wuduk (ada orang yang mengalami keadaan sedemikian). Walau bagaimanapun, jika angin tidak keluar daripada permukaan faraj dan hanya berada di dalam saja, maka ia tidak membatalkan wuduk.

  • Kelembapan faraj

Kadangkala berlaku kelembapan pada faraj. Kelembapan ini adalah sifat faraj menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mukosa daripada melekit dan mengering. Ulama fiqh berpendapat, kelembapan faraj akibat daripada lelehan yang dihasilkan mukosa tidak membatalkan wuduk. Bandingan sama keadaannya dengan seorang yang menjulurkan lidahnya keluar daripada mulut dalam keadaan lidah itu basah dan lembap air liurnya. Kemudian dia memasukkannya kembali ke dalam mulutnya dan menelan air liur itu, perbuatannya tidak membatalkan puasa kerana air liur pada lidah tidak terpisah daripada lidahnya.

Permasalahan haid dengan haji/umrah :

  • Datang haid ketika berniat ihram. Boleh mandi sunat ihram, boleh berniat untuk ihram sekalipun dalam keadaan tidak suci.
  • Datang haid selepas berniat ihram. Dibenarkan melakukan semua kerja haji dan umrah kecuali tawaf. Wanita yang datang haid ketika di Makkah dibolehkan melakukan zikir, bertahmid, tahlil dan takbir serta talbiyah.
  • Mengerjakan haji tamattuk dan datang haid sebelum tawaf. Jika wanita memilih melakukan haji tamattuk kemudian datang haid sebelum tawaf umrah dan dibimbangi luput haji, dia boleh niat ihram haji berserta umrah (Qiran). Dengan itu, dia bertukar daripada haji tamattuk kepada haji Qiran. Ini pandangan majoriti fuqaha. Wajib bayar dam.
  • Haid selepas wukuf dan tawaf rukun. Jika wanita datang haid selepas wukuf di Arafah dan selepas tawaf rukun sedangkan haidnya tidak suci sehingga hampir hendak pulang ke tanah air, dia tidak perlu tawaf Wida’ dan tidak dikenakan dam.

Bagi wanita yang datang haid atau nifas ketika hendak melakukan umrah, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram umrah kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah.

Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.

Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian hendaklah tawaf di Kaabah tujuh keliling, kemudian sa’ie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Selepas itu bergunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya. Umrah itu sah dan tidak dikenakan dam. (Muhamamad al-Ajami, Al-Umrah : 21)

Bagi wanita yang haid/nifas ketika haji, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram haji (Ifrad) kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah. Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.

Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian tawaf (selamat datang) di Kaabah tujuh keliling, kemudian tunggu hari berangkat ke Arafah untuk melakukan wukuf. Selepas itu lakukanlah amalan wajib dan rukun haji seperti biasa. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.

Wanita berihram di Miqat, kemudian datang haid atau nifas selepas ihramnya itu, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan tidak boleh tawaf sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf umrah tujuh keliling dan sa’ie umrah tujuh kali.

Kemudian menggunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya itu dan halal baginya melakukan segala yang dilarang ketika ihram. Umrah sah dan tidak dikenakan dam.

Perempuan berihram di Miqat (Tamattuk dan niat haji di Tanah Haram), kemudian datang haid atau nifas selepas ihram, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan boleh melakukan amalan lain seperti wukuf, bermalam di Muzdalifah, bermalam dan melontar di Mina serta bergunting. Tidak boleh tawaf rukun sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf haji tujuh keliling dan sa’ie haji tujuh kali. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.

Jika wanita itu datang haid ketika tawaf, hendaklah cepat-cepat keluar dari tempat tawaf dan pakailah tuala wanita dan terus berada di dalam ihramnya sehingga suci dan mandi wajib. Kemudian tawaf, sa’ie. Ditambah dengan bergunting (jika umrah). Dengan itu bebaslah daripada ihramnya.

Apabila datang haid selepas tawaf dan sebelum sa’ie, hendaklah memakai tuala wanita dan boleh melakukan sa’ie tidak disyaratkan suci daripada hadas. Kemudian bergunting (jika umrah) dan bebas daripada ihramnya.

Jika datang haid selepas selesai mengerjakan umrah atau haji sebelum keluar dari Makkah, dia tidak boleh melakukan Tawaf Wada. Dia boleh pulang ke tanah air tanpa mengerjakan Tawaf Wada’ dan tidak dikenakan dam.

Apabila seseorang wanita hendak mengerjakan haji atau umrah dan bimbang kedatangan haid, dia boleh mengambil pil pencegah haid. Perbuatan ini harus mengikut ulama dan tidak salah.

Kefahaman masalah haid amat berguna dan menjadi fardu ain kepada setiap orang (khasnya wanita). Oleh itu, jika jemaah haji ada persoalan dalam masalah haid, haji atau umrah boleh rujuk kepada ustaz atau ustazah yang berada di maktab dan zon ketika berada di Tanah Suci.

Ia penting bagi menjadikan amalan haji dan umrah kita sempurna dan diterima Allah.

Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji

0 Responses to “Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji”

Post a Comment

Networkedblog