Followers

ziddu

Showing posts with label Vaksin. Show all posts
Showing posts with label Vaksin. Show all posts

Tuesday, March 27, 2012

Sejarah dan Liku Perjuangan Vaksin Bahagian 3


Penolakan pelalian vaksin dikalangan masyarakat Melayu Islam akhir-akhir ini semakin meluas. Antara alasan mereka adalah vaksin mengandungi unsur tidak halal, secara spesifiknya bersumber dari babi. Terdapat segelintir mereka menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka kerana tidak mahu bahan asing masuk ke tubuh anak-anak mereka. Mereka lebih mempercayai berubat secara semulajadi dengan mengambil herba-herba tertentu. Dakwaan mereka menyatakan bahawa herba-herba tertentu lebih baik dari vaksin dalam melawan penyakit.
Kita mempunyai hak untuk berbeza pandangan, namun jangan sesekali pandangan kita menafikan pandangan sisi yang berlainan dengan kita. Sesuatu pegangan yang kita pegang sudah pasti mempunyai asas yang kukuh. Bukannya kepercayaan nipis yang tidak ada bukti secara berdalil atau akal. Apabila kita sudah ada asas sebagai bukti, barulah kita boleh memberi pandangan kita dan memaksa orang lain menerimanya.
Terdapat beberapa tulisan blog dan laman web yang menentang pemberian vaksin. Bukan tujuan sebenar saya menulis ini untuk menjawab segala dakwaan dalam blog tersebut, tapi setidak-tidaknya menjawab sebahagian kemusykilan yang telah ditimbulkan. Banyak fakta yang dikaitkan dalam blog tersebut. Tidak sempat saya mengkaji dan mentelaah semuanya. Kerja lain lebih utama dari bertumas dengan penentangan yang tidak berkesudahan ini. Dunia perubatan terdiri dari Perubatan Moden (Alopathy), Perubatan Natraseutikal/suplemen (Herbalis dan Hemopathy) dan Perubatan Tradisional/Komplimentari.
Perubatan Moden mengiktiraf semua kaedah perubatan tersebut. Namun perubatan moden menjadi lebih superior kerana segala kaedahnya berdasarkan pembuktian saintifik (Evidence Based Medicine). Boleh lihat ulasan saya berkaitan dengan EBM:
  1.  http://suhazeli.blogspot.com/2010/04/perubatan-alternatif-perubatan.html
  2. http://suhazeli.blogspot.com/2009/05/perubatan-berasaskan-bukti-sains-adalah_23.html.
Apa yang saya perhatikan melalui blog/laman web berkenaan adalah lebih kepada artikel perubatan Natraseutikal/Hemophaty yang fanatik, menentang perubatan moden. Ini adalah bersalahan dari disiplin ilmu perubatan.
Segelintir kecil pesakit saya memberi hukum haram kepada pemberian vaksin. Ramai juga terikut-ikut dengan fahaman ini. Apabila di tanya “di mana bukti?” Mereka terpinga-pinga dan cuba menjawabnya dengan mencari alasan-alasan yang rapuh. Kefahaman ini meniti dari mulut kemulut yang menyatakan bahawa vaksin itu haram kerana mengandungi babi.
Satu hari saya telah disua oleh seorang pesakit satu buku yang menjadi hujah beliau sebelum ini. Buku tersebut bertajuk “Ubat dari Sumber Babi dan Pilihan Alternatif” karangan Abdul Rahman. (Keluaran H. Science Solution, Kuala Lumpur tahun 2010). Buku ini boleh diperolehi dari www.kedaibuku.net. Saya amat teruja dan tertarik dengan pemberian buku tersebut dari seorang pesakit yang selama ini saya segani.
“Bacalah doktor”. Ujarnya sambil menghulurkan buku tersebut seolah-olah mengharapkan suatu fenomena baru dalam hidup saya yang selalu berbincang dengan beliau mengenai halal haram dalam dunia perubatan. Beliau secara spesifik mengesyorkan kepada saya beberapa mukasurat tertentu dalam buku tersebut yang menjadi perbincangan hangat mengenai vaksin. Sekaligus menjadi asas kepada pegangan beliau selama ini. Kehadiran buku ini menjadi satu dimensi baru dalam diri saya sebagai Pakar Perubatan Keluarga.
Namun saya tidak pasti samada sesiapa yang membacanya faham dan membuat sedikit pertanyaan kepada pihak yang berkenaan. Saya juga tidak pasti samada pesakit saya tadi membacanya sampai habis dan memahami kandungan yang disampaikan oleh pengarang. Sebagai contohnya dalam bab 7 menerangkan berkaitan ubat daripada sumber yang meragukan dan pilihan alternatif yang ada. Tidak dinafikan ubat yang dinyatakan dalam bab tujuh tersebut mengandungi bahan-bahan yang meragukan termasuk bahan bersumber dari babi. Sebagai contoh vaksin AttenuvaxTM keluaran Merck & Co, Amerika Syarikat bagi mencegah penyakit campak (Measles). Vaksin AttenuvaxTM mengandungi gelatin babi terhidrolisis 14.5 mg, albumin manusia 0.3 mg dan serum janin lembu <1 ppm[i].
Kementerian Kesihatan tidak menggunakan vaksin AttenuvaxTM tersebut. Vaksin yang digunakan adalah PriorixTM yang digunakan bagi mencegah Campak (Measles), Beguk (Mumps) dan Rubella. Ia bersumberkan dari kultur tisu ayam dan kultur sel manusia[ii]. Sekali lagi saya tidak pasti samada mereka yang menentang vaksin di premis kesihatan membaca dengan teliti kandungan buku ini. Setidak-tidaknya bertanya samada premis kesihatan negara kita menggunakan vaksin AttenuvaxTM atau jenis lain. Saya pasti mereka tidak cuba bertanya! Orang kesihatan juga tidak pernah menerangkannya!


[i] Abd Rahman. Ubat daripada sumber babi dan pilihan alternatif. H Science Solution. 2010. P71.
[ii] PriorixTM. International Data Sheet version 4. GlaxoSmithKline Group of Company. 2007.

Tuesday, March 27, 2012 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0

Monday, February 06, 2012

Sejarah dan Liku Perjuangan Vaksin Bahagian 2


Pelalian ke atas badan manusia menggunakan vaksin telah bermula sejak zaman perang dunia kedua lagi. Ia digunakan bagi menghalang para tentera yang terkena serangan penyakit campak ketika itu. Vaksin adalah sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia. Vaksin diperbuat dalam makmal yang terkawal rapi kebersihannya. Vaksin adalah sejenis bahan diperbuat dari agen bakteria yang telah dimatikan (killed), dilemahkan fungsi bahaya mereka (atenuated) atau bahan menyerupai toxin (toxoid) yang tidak merbahaya. Mekanisma tindakbalas vaksin adalah mereka merangsang sistem pertahanan tubuh manusia untuk melawan bakteria atau virus yang masuk. Dalam perubatan moden, vaksin adalah perubatan pencegahan. Ianya berfungsi untuk mencegah sesuatu kuman bakteria atau virus dari memudaratkan badan manusia. Sekaligus menghalang penyakit menular ke dalam masyarakat. Sesuai dengan ajaran agama bahawa mencegah lebih baik dari berubat.
Beberapa kontroversi yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan pemberian vaksin ini adalah kaitan antara vaksin Campak, Beguk dan Rubella (Measles, Mumps, Rubella-MMR) dengan kejadian autisma. Antara lain dakwaan ini telah ditimbulkan oleh seorang pengkaji Andrew Wakefield (1998) dalam artikel-artikel beliau. Kenyataan Wakefield dalam beberapa jurnal terkenal telah mengubah persepsi masyarakat secara mendadak.
Namun satu kajian besar-besaran telah dijalankan antara tahun 1999 hingga 2007. Kajian ini mendapati bahawa teori Wakefield adalah tidak benar. Bukti saintifik tidak dapat mengaitkan kejadian Autisma dengan pemberian vaksin keatas bayi. (lihat: De Stefano F. Vaccine and Autism: Evidence does not support a causal association. Clinical pharmacology. 82,6,756-759(2007)).
Antara dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa vaksin mengandungi raksa (merkuri). Dimana raksa digunakan dalam pembuatan vaksin sebagai bahan pengawet. Raksa ini dipercayai akan menyebabkan penyakit Autisma dikalangan bayi. Selepas isu Wakefield, pada tahun 1999, Akademik Pediatrik Amerika dan Perkhidmatan Kesihatan Awam Amerika (USPHS) mengeluarkan arahan agar vaksin yang mengandungi raksa ditarik balik. Walaupun dalam masa yang sama tiada kajian kukuh secara saintifik yang membenarkan teori raksa tersebut. Bermula dari itu kajian demi kajian telah dijalankan bagi dihubungkaitkan antara kandungan raksa dan Autisma. Kajian-kajian tersebut telah dijadikan bahan bukti untuk pendakwaan kes Wakefield. Sila lihat: US Court of Federal Claims, Autism Decisions and Background Information (www.uscfc.uscourts.gov/node/5026).
Sesetengah ahli agama berhujah dengan mengharamkan pemberian vaksin ini kepada anak-anak mereka. Alasan utama yang dikemukakan adalah kaedah pembuatan vaksin bersumberkan dari bahan yang haram. Ramai juga yang menolak vaksin ini kerana tidak mahu bendasing memasuki tubuh suci mereka. Kebanyakan mereka pasrah dengan sistem pertahanan badan semulajadi. Malah ramai diantara mereka berpandangan ubat-ubat herba tertentu boleh meningkatkan sistem pertahanan badan. Ianya dikukuhkan lagi dengan beberapa testimoni syarikat-syarikat jualan herba tertentu yang menentang vaksin ini.

Monday, February 06, 2012 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 2

Sunday, November 20, 2011

Sejarah dan Liku Perjuangan Vaksin Bahagian 1



Akhir-akhir ini orang ramai menjadi keliru dengan pemberian vaksin kepada anak-anak mereka. Kekeliruan ini berpunca dari kemudahcapaian maklumat melalui internet atau disebarkan oleh sesetengah pihak yang menentang segala bentuk ubatan moden. Orang ramai diberi maklumat yang tidak tepat mengenai kesucian dan kehalalan vaksin. Ada diantaranya mengatakan bahawa vaksin ini boleh menyebabkan lumpuh, autism dan melemahkan sistem pertahanan badan. Terdapat juga sesetengah mereka mengaitkan sudut negatif hasil dari pemberian vaksin kepada gadis remaja, di mana pengambilan vaksin akan menggalakkan seks bebas atau seumpamanya.
Justeru artikel ini ditulis bagi menyangkal beberapa salah faham tersebut berdasarkan kepada kajian-kajian saintifik serta bukti-bukti sains yang lain.
Kejayaan pemberian vaksin harus dilihat secara menyeluruh dengan penurunan secara mendadak kes-kes penyakit berjangkit seperti penyakit Campak (Measles), Polio, Cacar (Smallpox) dan beberapa jenis penyakit lain lagi. Penyakit Campak sebagai perbandingannya telah menunjukkan penurunan yang ketara. Dari jumlah kadar insiden 656.5/sejuta populasi (1982) sehingga kadar insiden 2.0/sejuta populasi (2009). Permulaan kempen pemberian vaksin dinegara kita adalah pada tahun 1982 dan jumlah liputan pemberian vaksin meningkat melebihi 80 peratus sehingga sekarang. Ini menunjukkan kejayaan yang besar didalam dunia perubatan moden.
Kejayaan lain dalam pemberian vaksin ini juga  telah mengejutkan dunia sains dalam penghapusan penyakit Cacar (Small Pox). Dari jumlah 10 juta mangsa cacar tahun 1967 dan 2 juta kematian di 43 buah Negara, sekarang ini kita telah mengishtiharkan penyakit Small Pox (cacar) hapus sepenuhnya. Pemberian vaksin Small Pox ini bermula pada akhir tahun 1976 dengan kempen besar-besaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sekarang, generasi baru sudah tidak mengenal apa itu penyakit cacar kerana tiada contoh didepan mata untuk dijadikan teladan.
Keberkesanan pemberian vaksin ini telah membuka mata banyak pihak dan telah member galakan kea rah penghasilan pelbagai polisi dinegara masing-masing bagi menyelamatkan masyarakat mereka dari terbelenggu dengan penyakit-penyakit berjangkit ini.

Sunday, November 20, 2011 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0

Networkedblog