Followers
Sunday, October 19, 2008
Di Jemput menjadi tetamu Allah
Sekali lagi aku dipilih untuk menjadi tetamu dan berkhidmat kepada tetamu-tetamu Allah pada musim 1429H. Satu saat yang ditunggu-tunggu menjadi khadam kepada para duyufu rRahman telah tiba pada penghujung bulan Oktober ini. Aku mendoakan agar memperolehi haji mabrur, diberi kekuatan tenaga, sihat tubuh badan, waras akal fikiran dan dipermudahkan segala urusan.
Banyak orang menimbulkan persoalan, adakah bertugas sebagai petugas perubatan dan dalam masa yang sama mengerjakan haji, sah haji atau tidak?
Hukum menunaikan ibadah haji sambil bekerja seperti doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan, petugas Lembaga urusan haji dan lain-lain adalah sah selagi ia menepati rukun dan wajib haji. Hal ini diqiaskan dengan berniaga sambil mengerjakan ibadah haji sebagaimana firman Allah s.w.t. :
Yang bermaksud : [“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji”]
(Al-Baqarah : 198)
Berdasarkan ayat di atas mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah pada musim haji dengan berniaga dan melakukan usaha-usaha halal yang lain adalah tidak berdosa. Menurut Ibnu ‘Abbas r.a. sebab turun ayat ini ialah berdasarkan hadith:
Yang bermaksud : [“Sesungguhnya orang ramai pada permulaan ibadat haji difardhukan- didalam Islam-mereka berjual beli di Mina. “Arafah di pasar Dzu al-Majaz (kawasan yang berhampiran ‘Arafah) dan pada musim haji, maka mereka khuatir untuk berjual beli ketika mereka didalam ihram. Lalu Allah menurunkan ayat ini”]
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh sebab itu, mereka yang menunaikan haji disamping melakukan perniagaan, haji mereka adalah sah, tidak rosak dan tidak perlu mereka mengulanginya. Hal ini berdasarkan ayat 198 Surah al-Baqarah tersebut. Mereka tidak dihalang melakukan perniagaan dengan syarat mereka berniat untuk mengerjakan haji sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.
Yang bermaksud :[“Sesungguhnya amalan itu adalah niat dan setiap orang hanya mendapat yang diniatkannya”]
[Muttafaq ‘Alaih]
Sumber: ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK, (NEGERI SEMBILAN) 1991, (Enakmen No. 1 Tahun 1991)
Sunday, October 19, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Tuesday, October 07, 2008
Kemenangan apa yang kita raikan?
Sahabat sekalian.
Generasi taqwa yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW adalah generasi yang berjaya. Mereka berjaya mempertahankan keimanan dari dugaan dan cabaran yang dilakukan oleh kaum kuffar. Menifestasi kejayaan itu adalah dengan pembukaan kota Mekkah pada tahun ke 8 hijrah yang juga berlaku dalam bulan Ramadhan. Generasi taqwa yang telah dibentuk oleh Rasulullah telah memasuki Kota Mekah dengan penuh izzah. Mereka telah memasuki Mekah dengan pedang dikeluarkan dari sarungnya, sehingga Rasulullah mengarahkan pedang-pedang dimasukkan semula kesarung-sarungnya. Serentak dengan kemenangan tanpa menumpahkan darah itu diiringi dengan 3 kali laungan Allahuakbar.
Laungan mulia takbir inilah bergema sampai sekarang. Setiap kali tiba hari raya Puasa dan haji, mulut kita takkan lekang dari menyebutnya.
Satu pertanyaan yang dituju kepada diri saya dan sahabat sekelian. Laungan yang kita ucapkan itu sebenarnya meraikan apa? Kita bukan sahabat Rasullah yang melaungkannya demi kemenangan Islam dan pembukaan Kota Mekkah! Kita bukan juga para tabiin yang berjaya memerintah dunia, sehingga 2/3 dunia telah ditakluki! Malah kita juga bukan agamawan, ilmuan yang telah berjaya mengharumkan Islam!
Kita laungkan juga kalimah suci itu walaupun tidak ada apa yang hendak kita banggakan. Kerana laungan kalimah suci inilah syiar yang masih kita warisi dari Nabi. Walaupun disaat-saat umat Islam tertindas dimana-mana, namun kita laungkan jua. Setidak-tidaknya kita sedikit berbangga dengan kejayaan menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan.
Ya Allah terimalah ibadah hambamu yang banyak menzalimi diri sendiri ini.
Tuesday, October 07, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0