Followers

ziddu

Tuesday, March 27, 2012

Sejarah dan Liku Perjuangan Vaksin Bahagian 3


Penolakan pelalian vaksin dikalangan masyarakat Melayu Islam akhir-akhir ini semakin meluas. Antara alasan mereka adalah vaksin mengandungi unsur tidak halal, secara spesifiknya bersumber dari babi. Terdapat segelintir mereka menolak pemberian vaksin kepada anak-anak mereka kerana tidak mahu bahan asing masuk ke tubuh anak-anak mereka. Mereka lebih mempercayai berubat secara semulajadi dengan mengambil herba-herba tertentu. Dakwaan mereka menyatakan bahawa herba-herba tertentu lebih baik dari vaksin dalam melawan penyakit.
Kita mempunyai hak untuk berbeza pandangan, namun jangan sesekali pandangan kita menafikan pandangan sisi yang berlainan dengan kita. Sesuatu pegangan yang kita pegang sudah pasti mempunyai asas yang kukuh. Bukannya kepercayaan nipis yang tidak ada bukti secara berdalil atau akal. Apabila kita sudah ada asas sebagai bukti, barulah kita boleh memberi pandangan kita dan memaksa orang lain menerimanya.
Terdapat beberapa tulisan blog dan laman web yang menentang pemberian vaksin. Bukan tujuan sebenar saya menulis ini untuk menjawab segala dakwaan dalam blog tersebut, tapi setidak-tidaknya menjawab sebahagian kemusykilan yang telah ditimbulkan. Banyak fakta yang dikaitkan dalam blog tersebut. Tidak sempat saya mengkaji dan mentelaah semuanya. Kerja lain lebih utama dari bertumas dengan penentangan yang tidak berkesudahan ini. Dunia perubatan terdiri dari Perubatan Moden (Alopathy), Perubatan Natraseutikal/suplemen (Herbalis dan Hemopathy) dan Perubatan Tradisional/Komplimentari.
Perubatan Moden mengiktiraf semua kaedah perubatan tersebut. Namun perubatan moden menjadi lebih superior kerana segala kaedahnya berdasarkan pembuktian saintifik (Evidence Based Medicine). Boleh lihat ulasan saya berkaitan dengan EBM:
  1.  http://suhazeli.blogspot.com/2010/04/perubatan-alternatif-perubatan.html
  2. http://suhazeli.blogspot.com/2009/05/perubatan-berasaskan-bukti-sains-adalah_23.html.
Apa yang saya perhatikan melalui blog/laman web berkenaan adalah lebih kepada artikel perubatan Natraseutikal/Hemophaty yang fanatik, menentang perubatan moden. Ini adalah bersalahan dari disiplin ilmu perubatan.
Segelintir kecil pesakit saya memberi hukum haram kepada pemberian vaksin. Ramai juga terikut-ikut dengan fahaman ini. Apabila di tanya “di mana bukti?” Mereka terpinga-pinga dan cuba menjawabnya dengan mencari alasan-alasan yang rapuh. Kefahaman ini meniti dari mulut kemulut yang menyatakan bahawa vaksin itu haram kerana mengandungi babi.
Satu hari saya telah disua oleh seorang pesakit satu buku yang menjadi hujah beliau sebelum ini. Buku tersebut bertajuk “Ubat dari Sumber Babi dan Pilihan Alternatif” karangan Abdul Rahman. (Keluaran H. Science Solution, Kuala Lumpur tahun 2010). Buku ini boleh diperolehi dari www.kedaibuku.net. Saya amat teruja dan tertarik dengan pemberian buku tersebut dari seorang pesakit yang selama ini saya segani.
“Bacalah doktor”. Ujarnya sambil menghulurkan buku tersebut seolah-olah mengharapkan suatu fenomena baru dalam hidup saya yang selalu berbincang dengan beliau mengenai halal haram dalam dunia perubatan. Beliau secara spesifik mengesyorkan kepada saya beberapa mukasurat tertentu dalam buku tersebut yang menjadi perbincangan hangat mengenai vaksin. Sekaligus menjadi asas kepada pegangan beliau selama ini. Kehadiran buku ini menjadi satu dimensi baru dalam diri saya sebagai Pakar Perubatan Keluarga.
Namun saya tidak pasti samada sesiapa yang membacanya faham dan membuat sedikit pertanyaan kepada pihak yang berkenaan. Saya juga tidak pasti samada pesakit saya tadi membacanya sampai habis dan memahami kandungan yang disampaikan oleh pengarang. Sebagai contohnya dalam bab 7 menerangkan berkaitan ubat daripada sumber yang meragukan dan pilihan alternatif yang ada. Tidak dinafikan ubat yang dinyatakan dalam bab tujuh tersebut mengandungi bahan-bahan yang meragukan termasuk bahan bersumber dari babi. Sebagai contoh vaksin AttenuvaxTM keluaran Merck & Co, Amerika Syarikat bagi mencegah penyakit campak (Measles). Vaksin AttenuvaxTM mengandungi gelatin babi terhidrolisis 14.5 mg, albumin manusia 0.3 mg dan serum janin lembu <1 ppm[i].
Kementerian Kesihatan tidak menggunakan vaksin AttenuvaxTM tersebut. Vaksin yang digunakan adalah PriorixTM yang digunakan bagi mencegah Campak (Measles), Beguk (Mumps) dan Rubella. Ia bersumberkan dari kultur tisu ayam dan kultur sel manusia[ii]. Sekali lagi saya tidak pasti samada mereka yang menentang vaksin di premis kesihatan membaca dengan teliti kandungan buku ini. Setidak-tidaknya bertanya samada premis kesihatan negara kita menggunakan vaksin AttenuvaxTM atau jenis lain. Saya pasti mereka tidak cuba bertanya! Orang kesihatan juga tidak pernah menerangkannya!


[i] Abd Rahman. Ubat daripada sumber babi dan pilihan alternatif. H Science Solution. 2010. P71.
[ii] PriorixTM. International Data Sheet version 4. GlaxoSmithKline Group of Company. 2007.

0 Responses to “Sejarah dan Liku Perjuangan Vaksin Bahagian 3”

Post a Comment

Networkedblog