Followers
Sunday, November 30, 2008
Nasihat dalam perjalanan Menunaikan Haji
Nak bersanam lagu mana doktor dalam kapal terbang?" Tanya seorang jemaah dengan nada terkejut apabila saya menerangkan kepentingan bersenam dalam kapal terbang.
Senaman ini penting bagi mengelakkan satu penyakit yang diberi nama "deep vein thrombosis (DVT)". Apabila pergerakan kurang dalam keadaan kita lama duduk dikerusi, dibimbangi pergerakan darah kita menjadi lambat dan akhirnya menjadi gumbalan darah beku terutama dibahagian kaki. Saluran vena akan tersumbat dan kaki yang terkena DVT akan menjadi kemerahan dan sakit. Bagi jemaah yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, sakit paru-paru, barah, mempunyai sejarah keluarga mengidap DVT, mengambil pil hormone, baru menjalani pembedahan, baru terlibat dalam kemalangan yang melibatkan bahagian kaki atau mengalami masalah sistem pembekuan darah, adalah golongan yang berisiko tinggi diserang DVT.
Beberapa langkah boleh dilakukan oleh jemaah semasa berada dalam penerbangan:
- Memakai stokin (elastic compression stockings). Sila bertanya doctor untuk keteragan lanjut.
- Memakai pakaian yang longgar
- Meminum banyak air semasa penerbangan.
- Bangun dan melakukan regangan tangan dan kaki setiap 2 jam (Lihat gambarajah tatacara melakukan regangan dalam kapal terbang).
- Elakkan bersila semasa duduk atas kerusi.
- Berjalan-jalan dalam kapal terbang sekerap yang mungkin.
Senaman semasa perjalanan jauh
Senaman ini bertujuan melancarakan perjalanan darah dan mengelakkan kekejangan otot.
1. Duduk tegak semasa ingin memulakan senaman.
2. Rehatkan kaki anda ke lantai. Gerakkan hujung kaki ke atas dan ke bawah beberapa kali.
3. Bongkokkan sedikit badan dan rangkul lutut anda. Dengan perlahan dakap lutut ke arah dada, bertahan beberapa saat dan lepaskan. Letakkan semula kaki anda ke lantai. Lakukan perkara yang sama pada kaki satu lagi. Ulang aktiviti tersebut sebanyak lima kali bagi setiap kaki.
4. Pegang paha anda dan angkat sedikit separas dada. Kemudian pusing hujung kaki anda seperti gambarajah. Lakukan pusingan selama lima saat. Ulang aktiviti tersebut pada kaki yang berikutnya. Sesi ini dilakukan sebanyak 5 kali.
*Jika anda merasakan tidak selesa melakukan senaman ini atau mengalami kesakitan, sila berhenti dengan segera2.
Sunday, November 30, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 1
Panduan Kesihatan Jemaah Haji 1
Ibadah Haji adalah ibadah yang memerlukan kekuatan tenaga dan ketahanan mental. Buktinya adalah segala rukun dan wajib haji berbentuk pergerakan fizikal, bukannya bacaan kecuali niat. Di sini beberapa panduan kesihatan untuk petugas atau jemaah haji yang ingin menunaikan haji di Mekah. Semoga anda semua memperolehi manafaat darinya.
Vaksin / Pelalian
Kerajaan Arab Saudi telah mensyaratkan semua jemaah yang ingin mengerjakan haji mengambil beberapa suntikan vaksin / pelalian. Vaksin yang wajib diambil oleh semua jemaah haji yang datang dari pelusuk dunia adalah Vaksin Meninggococcal. Selain dari itu beberapa vaksin lain yang digalakkan seperti, Vaksin Influenza, Vaksin Pneumococcal, Hepatis, dan Tifoid (Demam Kepialu). Pihak Tabung Haji telah mewajibkan kepada bakal jemaah haji mengambil Vaksin Meninggococcal. Malah jika anda tidak mengambil vaksin ini, pihak Tabung Haji berhak untuk tidak membenarkan anda mengerjakan haji pada tahun tersebut. Vaksin lain adalah pilihan yang digalakkan oleh pihak Tabung Haji.
Vaksin Meninggococcal adalah diwajibkan bagi menghalang jangkitan kuman yang diberi nama Neisseria meningitides1. Kuman ini mendatangkan penyakit yang boleh membawa maut kepada pengidapnya. Jangkaan kematian bagi orang yang telah dijangkiti adalah 10%. Ini adalah salah satu ikhtiar kita untuk menghindarkan diri dari terkena jangkitan kuman ini. Dalam jutaan manusia yang datang dari seluruh dunia, pelbagai virus atau kuman boleh berjangkit. Begitu juga dengan kuman Neisseria Meningitidis ini. Ia boleh merebak melalui pernafasan atau cairan tubuh badan. Orang yang dijangkiti oleh kuman ini akan mengalami demam yang tinggi, ruam seluruh badan, sakit sendi dan boleh menyebabkan koma.
Vaksin ini baik diambil dalam masa 4 hingga 6 minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kekuatan perlindungan vaksin ini dijangka sehingga dua tahun setelah mendapat suntikan.
Vaksin Influenza pula bagi melindung diri kita dari Virus influenza. Virus ini boleh menyebabkan demam selsema yang teruk dan senang berjangkit sesama jemaah. Virus influenza ini juga boleh mendatangkan mudarat kepada jemaah yang berumur lebih dari 60 tahun atau mempunyai penyakit kronik seperti Kencing Manis. Ia boleh menyerang paru-oaru mengakibatkan batuk dan demam yang berpanjangan. Walaubagaimana pun demam selsema boleh diakibatkan juga oleh pelbagai kuman lain yang tidak mendatangkan mudarat yang teruk kepada jemaah. Kebiasaanya demam selsema sebegini akan berlarutan sehingga tiga atau empat hari sahaja. Bagi jemaah yang sudah menghidapi penyakit resdung, demam selsema senang terjadi kepada mereka. In berpunca dari perubahan cuaca di Tanah Suci yang beriklim ekstrim (panas dan kering keterlaluan, sejuk dan kering keterlaluan). Perbezaan iniamat ketara dengan Negara kini yang beriklim panas dan lembab.
Vaksin Pneumokokal sesuai juga diberikan kepada jemaah yang berumur 60 tahun ke atas atau jemaah yang memnpunyai masalah penyakit kronik. Kuman ini senang menjangkiti jemaah yang rendah sistem pertahanan badan. Sesiapa yang dijangkiti kuman ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), Serangan selaput otak (Meningitis) dan kuman merebak keseluruh badan (Bacteremia)3. Dianggarkan 1 dari 20 orang yang telah dijangkiti kuman Pneumokokal akan meninggal dunia. Justeru itu amat digalakkan jemaah haji mengambil suntikan ini sebagaisalah satu jalan ikhtiar kita semasa berada di Tanah Suci.
Sunday, November 30, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Sunday, November 16, 2008
Perdarahan Lepas Putus Haid adalah darah Penyakit
"Jadi apa masalahnya?" Soalan pertamaku.
"Datang balik la...Ustazah arahkan akak datang jumpa doktor, darah haid ka? darah penyakit?" Ujar Akak dengan penuh pengharapan dan jawapan yang pasti. Kerana ini boleh menjejaskan ibadah Haji atau Umrah yang akan di jalankan oleh Beliau
Lanjutan dari itu....aku menghuraikan mengikut sekelumit ilmu yang ada sebegini. Jika ada yang tak kena sila perbetulkan
Putus Haid (Menopause) adalah satu keadaan di mana ketiadaan perdarahan haid secara kekal bagi seorang wanita . Ia adalah proses biasa yang berlaku bagi seseorang wanita apabila sampai tempoh yang tertentu. Setiap wanita yang mempunyai sistem peranakan akan mengalami fenomena ini setelah sistem ovari dalam badan sudah berkurangan.
Majoriti pakar perubatan mendefinasikan putus haid adalah dimana seseorang wanita yang tidak didatangi haid secara bulanan selama lebih dari setahun (akan dibincangkan lagi dalam artikel ini). Ianya boleh disahkan lagi dengan mengalami tanda-tanda wanita yang putus haid seperti panas badan, sakit sendi, berpeluh malam, sukar tidur dan fikiran gelisah. Pengesahan secara makmalnya apabila paras salah satu dari hormon kesuburan wanita terlalu tinggi. Hormon tersebut diberi nama Follicular Stimulating Hormone (FSH).
Secara ilmiah, kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur dan peratus wanita yang kebanyakannya putus haid. Peratus ini hasil dari kajian dipelbagai benua dan geografi.
Umur Putus Haid % wanita
35—40 tahun (11.87%)
40—45 tahun (25.97%)
45—50 tahun (41.03%)
50—55 tahun (14.58%)
sebelum 35 atau selepas 55 tahun (6.54%)
Majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
Para ulamak berbeza pendapat mengenai umur wanita yang putus haid ini. Berdasarkan kajian danpemerhatian semasa pada waktu itu Ad-darimi menyimpulkan bahawa bilamana sesorang wanita didatangi darah samada berumur belum mencapai 9 tahun atau diatas 50 tahun, ia bererti darah haid juga. Sebab Allah Subhanahuwa Taala dan RasulNya mengaitkan hukum-hukum haid pada kehadiran darah tersebut.
Pendapat Imam Syafie pula menyatakan bahawa tiada tempoh usia wanita putus haid. Pendapat ini mungkin berdasarkan uruf semasa pada ketika itu atau mengambil bukti sirah isteri Nabi Allah Ibrahim yang masih boleh melahirkan anak (Nabi Allah Ismail) walaupun sudah lanjut usia. Walaubagaimanpun pendapat Imam Hanafi, Hambali dan Maliki berbeza, dan menentukan tempoh usia wanita putus haid. Sedangkan jarak perbezaan zaman pada ketika itu tidaklah terlampau jauh. Semoga Allah merahmati mereka semua dalam menyatakan pandangan dan pendapat.
Tulisan ini pula bukan ingin menyanggah apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak, tetapi ingin menyatakan beberapa pandangan terkini berdasarkan bukti-bukti kajian ilmiah mengenai wanita yang putus haid.
Kenapa wanita didatangi haid dan putus haid.
Sebelum kita melanjutkan perbincangan fekah mengenai hukum wanita yang telah putus haid dan beberapa masalah yang berkaitan dengannya, marilah terlebih dahulu kita memahami apakah yang dikatakan kitaran bulanan haid wanita dan kenapa haid terhenti pada usia tertentu.
Wanita mempunyai sekurang-kurangnya empat hormon penting bagi mengimbangi kitaran bulanan haid mereka. Hormon tersebut adalah Follicular Stimulating Hormon (FSH), Leutinizing Hormon (LH), Progesterone dan Estrogen. FSH dan LH berfungsi untuk membina telur (ovum) yang terdapat dalam kilang telur (ovari) membesar dengan subur dan matang sebelum ia pecah untuk disenyawakan oleh sperma lelaki . Progesteron dan Estrogen pula berfungsi untuk membina dinding peranakan wanita, subur untuk perletakan benih yang telah disenyawakan. Untuk pengetahuan bersama, hormon Progesteron dan Estrogen ini juga penting untuk menjaga keseimbangan fizikal dan mental seseorang wanita. Kulit wanita akan kelihatan cantik dan gebu akibat dari hormon Progesteron dan Estrogen. Begitu juga dangan emosi seseorang wanita dipengaruhi oleh hormon ini.
Hormon FSH dan LH dirembeskan dari kilang Pituatari yang terletak dalam rongga otak. Rembesan ini pula bergantung kepada signal negatif yang diperolehi dari Hormon Progesteron dan Estrogen yang dirembeskan dari kilang telur itu sendiri. Maksudnya jika telur tidak disenyawakan, tiada percambahan benih yang melekat pada dinding peranakan, hormon progesteron dan estrogen akan menurun secara mendadak. Menyebabkan signal akan dihantar ke kilang Pituatari untuk merembeskan FSH dan LH bagi kitaran pembentukan ovum yang kedua bagi bulan berikutnya. Semasa penurunan progesterone dan estrogen mendadak inilah dinding peranakan yang subur tadi berdarah yang kita namakan darah haid. Tujuan perdarahan tadi supaya penyediaan untuk pembinaan sel-sel baru bagi kitaran bulan yang berikutnya. Indahnya kejadian Allah Taala bagi manusia yang berfikir!
Seumur hidup seseorang wanita berupaya mengeluarkan telur sebanyak 400 ribu biji. Pengeluaran ini bergantung terus kepada hormon yang dinyatakan di atas. Proses pengeluaran ini agak kompleks dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui secara mendalam. Walaubagaimanapun tidak semua telur akan mencapai tahap kematangan dan disenyawakan. Kajian menyatakan hanya 400 telur sahaja matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan . Dalam satu kitaran, hanya satu telur sahaja akan matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Telur yang masih berbaki, yang dalam proses kematangan akan terhenti tumbesaran setelah hormon-hormon di atas berkurangan. Ada kedapatan telur yang belum matang tadi akan matang pada kitaran yang berikutnya, dan ada di antaranya akan terbantut terus.
Apa yang terjadi semasa proses menopos (putus haid) ialah, telur-telur tadi sudah berkurangan dan ada yang tidak mencapai tahap kematangan untuk dikeluarkan dari kilang telur. Ini mengakibatkan kitaran haid bagi seorang wanita yang hampir putus haid tidak menentu. Pada masa yang sama hormon-hormon FSH, LH, Progesteron dan Estrogen juga akan mengalami gangguan perembesan.
Pada saat inilah wanita akan mengalami beberapa kecelaruan seperti cepat marah, sukar untuk tidur, sentiasa merasakan panas badan, sakit urat sendi dan nafsu berkurangan . Fenomena ini akan berlaku pada wanita bergantung kepada tahap ketahanan badan masing-masing. Wanita yang tidak dapat mengatasi perubahan kehidupan ini diberi pilihan untuk mengambil pil yang dinamakan Terapi Hormon Gantian (Hormon Replacement Therapy) .
Sesetengah wanita akan mengalami kecelaruan ini sehingga bertahun-tahun dan sebahagian darinya akan mengalami beberapa bulan sahaja. Malah ada di antara mereka tidak akan merasai perubahan ini secara ketara . Yang pasti mereka akan mengalami gangguan kitaran haid dan akhirnya haid akan terhenti.
Makna Putus Haid (Menopos)
Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid. Pendapat yang pertama adalah enam bulan dan pendapat kedua adalah selepas satu tahun dari haid yang terakhir.
Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.
Perdarahan selepas Putus Haid (Menopos)
Timbul beberapa hukum fekah yang berkaitan dengan perdarahan yang berlaku selepas putus haid. Penelitian ulamak dalam masalah ini masih belum selesai dan diperbincangkan dalam pelbagai forum.
Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah :
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan virus.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu.
3. Pengencutan vagina
4. Pembengkakan rahim.
5. Barah Rahim, pangkal rahim atau barah Ovari (Kilang Telur)
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim.
Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah Barah Rahim. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Barah Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui Barah Rahim ini. Antara ujian ringkas yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah Ultra Sound sistem Peranakan. Melalui ujian Ultra Sound ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.
Rujukan
- Menopause. Dicapai melalui http://en.wikipedia.org/wiki/Menopause pada 10-Nov-08
- Marie Carmichael Stopes. Change Of Life in Men And Women. Dicapai Melalui Http://Www.Geocities.Com/Menobeyond/Age.Html#1 Pada 10-Nov-08
- Muhammad bin Shaleh Al-‘Uthaimin. Usia dan Masa Haid. Darah Kebiasaan Wanita. Islamic Propogation Office in Rabwah, Riyadh.
- The Reproductive System di perolehi dalam talian http://library.thinkquest.org/2935/Natures_Best/Nat_Best_Low_Level/Reproductive_page.L.html#female_repro pada Tuesday, November 11, 2008
- Berbagai Ukuran Seputar Seks dan Organ Reproduksi. Di capai melalui http://www.hanyalelaki.com/mod.php?mod=publisher&op=viewarticle&artid=140 pada 13 November 2008
- Menopause. Dicapai melalui http://menopause.emedtv.com/menopause/menopause.html pada November 14, 2008
- Menopause. Dicapai melalui http://www.healthywomen.org/healthtopics/menopause pada November 14, 2008
- Postmenopausal Bleeding. http://www.patient.co.uk/showdoc/40024599/
- KATHLEEN A. ORIEL, SARINA SCHRAGER. Abnormal Uterine Bleeding. Dicapai melalui http://www.aafp.org/afp/991001ap/1371.html
Sunday, November 16, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Friday, November 07, 2008
Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji
Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji
Bersama Tabung Haji
Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah
MASALAH haid kadangkala mengganggu kelancaran wanita mengerjakan ibadat haji dan umrah. Oleh itu, satu kefahaman dalam masalah ini perlu difahami dan diberi perhatian oleh wanita.
Wanita yang didatangi haid diharam sembahyang, puasa, tawaf, duduk dalam masjid, bersetubuh, menyentuh dan membaca Al-Quran.
Darah haid keluar paling minimum ialah satu hari satu malam (24 jam), manakala tempoh maksimum ialah 15 hari 15 malam dan tempoh kebiasaannya antara tiga hingga tujuh hari mengikut kebiasaan individu.
Jika haid keluar satu hari satu malam kemudian berhenti satu hari satu malam atau darah haid keluar dua atau tiga hari, kemudian berhenti dua hari secara umum, Mazhab Syafi’e berpendapat hari yang darah keluar dan hari darah berhenti dikira tempoh haid.
Dalam Al-Iqna ditambah tiga syarat :
- Hari darah terhenti dan hari darah keluar tidak melebihi 15 hari.
- Tempoh darah terhenti dan keluar tidak kurang daripada satu hari atau satu malam iaitu tempoh minimum haid.
- Hari suci atau tempoh suci yang menyelangi antara dua haid tidak kurang daripada 15 hari.
- Tempoh suci antara dua haid ialah 15 hari. Ulama fiqh bersepakat bahawa warna darah haid pada hari kebiasaan ialah kehitaman, merah, kuning dan keruh. Warna kuning dan keruh yang keluar hari kebiasaan haid dikira sebagai darah haid.
Darah yang keluar selepas hari kebiasaan haid tidak dikira sebagai haid. Oleh itu, jika masalah itu berlaku ke atas jemaah haji ketika berada dapatlah melakukan ibadat di Makkah dengan sempurna tanpa ragu-ragu.
Tanda wanita suci daripada haid ialah kering tempat darah keluar (faraj) tanpa ada kesan warna darah, sama ada merah, kuning atau keruh yang tinggal pada kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari. Jika kapas atau yang seumpamanya itu didapati basah dan tidak ada kesan warna seperti di atas, itu juga sudah dianggap suci.
Putih bersih bermaksud apabila kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari didapati putih, bersih, kering atau masih ada kebasahan yang putih jernih ia juga dianggap bersih.
Permasalahan wanita dalam haid ialah :
- Keluar darah selepas tempoh maksimum haid
Bagi wanita yang pertama kali datang haid, Mazhab Syafi’e berpendapat, hendaklah mengira darah haidnya satu hari satu malam saja iaitu tempoh minimum haid. Darah keluar selepas satu hari satu malam adalah dikira sebagai darah istihadah.
Bagi wanita pertama kali datang haid tetapi dapat membezakan antara darah haid atau tidak, maka Syafi’e mensyaratkan dengan tiga syarat iaitu tempoh darah yang keluar tidak kurang daripada tempoh minimum haid (24 jam), darah yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid (15 hari) dan tidak kurang daripada tempoh minimum suci antara dua haid.
Bagi wanita yang sudah biasa mengalami haid dan dapat atau tidak dapat membezakan warna darah. Wanita ini hendaklah mengira tempoh haid mengikut kebiasaan haidnya. Darah yang keluar melebihi hari kebiasaan haidnya hendaklah dikira sebagai darah istihadah.
- Darah yang keluar ketika hamil
Wanita yang keluar darah ketika hamil adalah darah haid. Dalam Ashab Al-Syafie berpendapat jika wanita hamil mendapati darah keluar seperti hari kebiasaan haidnya dan sifat darah itu juga sama dengan sifat darah haid, maka darah itu dikira sebagai darah haid. Jika darah itu keluar pada hari yang bukan hari kebiasaan haid, maka darah itu bukan darah haid.
- Darah keluar selepas putus haid
Tiada had pada tempoh haid. Namun, umur kebiasaan bagi perempuan putus haid adalah di antara umur 49 hingga 62 tahun. Walau bagaimanapun, menurut pandangan perubatan, putus haid berlaku apabila tiada lagi benih aktif yang dapat mengeluarkan hormon. Jika ada, mungkin tidak aktif.
Kebanyakan wanita Malaysia putus haid pada purata umur 49 hingga 50 tahun. Pada pandangan perubatan, wanita akan dikira benar-benar putus haid apabila tiada haid selama enam bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, jika ada haid lagi selepas putus haid, ia bukan darah haid tetapi darah penyakit. Oleh itu, pemeriksaan dengan doktor perlu untuk menentukan darah itu darah haid atau tidak.
- Angin keluar melalui (qubul) faraj
Pada pandangan Mazhab Syafi’e, angin yang keluar daripada faraj wanita atau zakar lelaki adalah batal wuduk (ada orang yang mengalami keadaan sedemikian). Walau bagaimanapun, jika angin tidak keluar daripada permukaan faraj dan hanya berada di dalam saja, maka ia tidak membatalkan wuduk.
- Kelembapan faraj
Kadangkala berlaku kelembapan pada faraj. Kelembapan ini adalah sifat faraj menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mukosa daripada melekit dan mengering. Ulama fiqh berpendapat, kelembapan faraj akibat daripada lelehan yang dihasilkan mukosa tidak membatalkan wuduk. Bandingan sama keadaannya dengan seorang yang menjulurkan lidahnya keluar daripada mulut dalam keadaan lidah itu basah dan lembap air liurnya. Kemudian dia memasukkannya kembali ke dalam mulutnya dan menelan air liur itu, perbuatannya tidak membatalkan puasa kerana air liur pada lidah tidak terpisah daripada lidahnya.
Permasalahan haid dengan haji/umrah :
- Datang haid ketika berniat ihram. Boleh mandi sunat ihram, boleh berniat untuk ihram sekalipun dalam keadaan tidak suci.
- Datang haid selepas berniat ihram. Dibenarkan melakukan semua kerja haji dan umrah kecuali tawaf. Wanita yang datang haid ketika di Makkah dibolehkan melakukan zikir, bertahmid, tahlil dan takbir serta talbiyah.
- Mengerjakan haji tamattuk dan datang haid sebelum tawaf. Jika wanita memilih melakukan haji tamattuk kemudian datang haid sebelum tawaf umrah dan dibimbangi luput haji, dia boleh niat ihram haji berserta umrah (Qiran). Dengan itu, dia bertukar daripada haji tamattuk kepada haji Qiran. Ini pandangan majoriti fuqaha. Wajib bayar dam.
- Haid selepas wukuf dan tawaf rukun. Jika wanita datang haid selepas wukuf di Arafah dan selepas tawaf rukun sedangkan haidnya tidak suci sehingga hampir hendak pulang ke tanah air, dia tidak perlu tawaf Wida’ dan tidak dikenakan dam.
Bagi wanita yang datang haid atau nifas ketika hendak melakukan umrah, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram umrah kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah.
Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.
Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian hendaklah tawaf di Kaabah tujuh keliling, kemudian sa’ie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Selepas itu bergunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya. Umrah itu sah dan tidak dikenakan dam. (Muhamamad al-Ajami, Al-Umrah : 21)
Bagi wanita yang haid/nifas ketika haji, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram haji (Ifrad) kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah. Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.
Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian tawaf (selamat datang) di Kaabah tujuh keliling, kemudian tunggu hari berangkat ke Arafah untuk melakukan wukuf. Selepas itu lakukanlah amalan wajib dan rukun haji seperti biasa. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.
Wanita berihram di Miqat, kemudian datang haid atau nifas selepas ihramnya itu, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan tidak boleh tawaf sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf umrah tujuh keliling dan sa’ie umrah tujuh kali.
Kemudian menggunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya itu dan halal baginya melakukan segala yang dilarang ketika ihram. Umrah sah dan tidak dikenakan dam.
Perempuan berihram di Miqat (Tamattuk dan niat haji di Tanah Haram), kemudian datang haid atau nifas selepas ihram, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan boleh melakukan amalan lain seperti wukuf, bermalam di Muzdalifah, bermalam dan melontar di Mina serta bergunting. Tidak boleh tawaf rukun sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf haji tujuh keliling dan sa’ie haji tujuh kali. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.
Jika wanita itu datang haid ketika tawaf, hendaklah cepat-cepat keluar dari tempat tawaf dan pakailah tuala wanita dan terus berada di dalam ihramnya sehingga suci dan mandi wajib. Kemudian tawaf, sa’ie. Ditambah dengan bergunting (jika umrah). Dengan itu bebaslah daripada ihramnya.
Apabila datang haid selepas tawaf dan sebelum sa’ie, hendaklah memakai tuala wanita dan boleh melakukan sa’ie tidak disyaratkan suci daripada hadas. Kemudian bergunting (jika umrah) dan bebas daripada ihramnya.
Jika datang haid selepas selesai mengerjakan umrah atau haji sebelum keluar dari Makkah, dia tidak boleh melakukan Tawaf Wada. Dia boleh pulang ke tanah air tanpa mengerjakan Tawaf Wada’ dan tidak dikenakan dam.
Apabila seseorang wanita hendak mengerjakan haji atau umrah dan bimbang kedatangan haid, dia boleh mengambil pil pencegah haid. Perbuatan ini harus mengikut ulama dan tidak salah.
Kefahaman masalah haid amat berguna dan menjadi fardu ain kepada setiap orang (khasnya wanita). Oleh itu, jika jemaah haji ada persoalan dalam masalah haid, haji atau umrah boleh rujuk kepada ustaz atau ustazah yang berada di maktab dan zon ketika berada di Tanah Suci.
Ia penting bagi menjadikan amalan haji dan umrah kita sempurna dan diterima Allah.
Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji
Friday, November 07, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Tipu Sebelum Menunaikan Haji?
“Aa..a, Doktor kat Klinik Malaysia kata Pak Cik boleh tunaikan haji tahun ni kerana semua pemeriksaan tiada masalah pun”. Cepat-cepat isterinya menyampuk…seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu.
“Ni sebak dada, gula dalam darah tinggi dan darah tinggi ni baru kena kat sini le ye?” Aku cuba menduga. Pelik rasanya menurut keilmuan yang ada; penyakit kencing manis dan darah tinggi boleh datang secara tiba-tiba tanpa ada tanda-tanda keabnormalan sebelum darinya.
“Melalui pemeriksaan dan pengamatan saya Pak Cik dinasihatkan masuk Hospital untuk pemeriksaan lanjut…” aku memulakan hujah untuk memasukkan jemaah haji tadi ke Hospital Malaysia kat Mekah.
Tabung Haji telah menyediakan dua Hospital yang diurus tadbir sepenuhnya oleh Tabung Haji. Bermula dari Pengarah Hospital, Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penyelia Hospital, Ketua Jururawat sehinggalah kepada Penolong Perawatan Kesihatan, semuanya dilantik melalui Kementerian Kesihatan Malaysia. Jemaah haji yang menunaikan haji setiap tahun begitu bertuah kerana ramai Pakar dalam bidang masing-masing telah dilantik oleh Kementerian Kesihatan untuk berkhidmat di Tanah Suci. Walaupun mereka berjawatan Pegawai Perubatan di Tanah Suci tetapi kepakaran mereka semasa di Tanah Air diguna pakai untuk merawat para tetamu Allah.
“Assalamualaikum Suhazeli!. Enta refer kes MI (Myocardial Infarction) le tadi…” Sergah seorang kawan saya yang berkhidmat di Hospital Aziziah.
“Apasal hang tak tanya lanjut ceritanya…dia baru saje keluar IJN (Institut Jantung Negara) sebulan lepas.” Sahabat saya tadi melanjutkan bicara.
“Nak cepat tadi..Pak Cik tu dan tak tahan sebak dada…tapi memang aku dah agak dah, dengan tanda-tanda tu, Pak Cik tadi may have some ECG changes…” Sahutku dengan fakta penemuan fizikal semasa aku memeriksa jemaah tersebut pagi tadi.
Inilah salah satu kes yang ditemui semasa berkhidmat di Tanah Suci. Ada jemaah haji yang sanggup menyembunyikan status kesihatan mereka semasa pemeriksaan haji. Walaupun mungkin kes sebegini agak terpencil, tetapi kerap ditemui oleh pihak Hospital di Tanah Suci. Tidak salah jika saya mengatakan bahwa mereka sanggup MENIPU dalam melakukan ibadah. Dan padahnya mereka akan menerima balasan semasa di Tanah Suci. Ibadah yang dilakukan tidak sempurna kerana dimasukkan ke Wad sepanjang tempoh mengerjakan haji.
Definisi kemampuan mengerjakan ibadah haji
Memang berpatutan dengan salah satu syarat wajib haji iaitu: “seseorang yang sihat tubuh badan dan berakal”. Inilah definisi MAMPU yang telah dinukilkan dalam Al-Quran
97. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup Mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), Maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. Surah ali Imran Ayat 97
Kemampuan yang dimaksudkan disini terbahagi kepada tiga:
1. Orang yang sanggup mendapatkan perbekalan dan alat-alat pengangkutan
2. Sihat jasmani dan Akal Fikiran dan
3. Aman perjalanan.
Kemampuan pertama dan ketiga diatas rasanya senang diperolehi dizaman yang serba canggih kini. Tetapi sihat tubuh badan dan akal fikiran adalah bergantung kepada individu tersebut. Kemampuan dari sudut kesihatan hanya diperolehi setelah setiap jemaah haji menjalani pemeriksaan kesihatan semasa di Tanah Air. Pegawai Perubatan yang memeriksa mempunyai panduan khusus untuk memeriksa setiap bakal haji.
Terdapat beberapa kategori penyakit yang tidak layak untuk menunaikan haji, dengan ertikata lain, jemaah tersebut tidak berkemampuan dari sudut kesihatan dan terhapuslah kewajipan haji keatasnya. Berikut adalah jenis penyakit yang tidak layak untuk mengerjakan haji yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Friday, November 07, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Monday, November 03, 2008
Cabaran airport Team Madinah
"Kalau pergi Advance party ni mesti kena bertugas di terminal kapal terbang lagi?" Isteriku memulakan bicara.
Aku diam tanpa jawapan setelah mendapat tahu tarikh penerbangan sebagai petugas haji. Tawaran dapat bertugas pada tahun ni agak lambat sedikit berbanding dengan sebelum ini.
Aku tidak tahu jawapan yang selunak mana untuk diberikan kepada insan tersayang. Ada dua perasaan yang mendatang setelah dipilih sebagai petugas perubatan kali ini...
Pertama sedih kerana terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak dalam jangka waktu yang agak lama berbanding dengan petugas lain.
''Amacam Dr Suhazeli, Terminal Madinah ok?" Tegur Hj Dolah sewaktu bersua di Muzakarah Haji di Port Dickson.
Aku kelat untuk menyatakan ya. Tetapi aku menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pengatur.
….
….dan Allah Sebaik-baik Pengatur Perancangan. ( Surah Ali Imran: 54)
''Takkan Yang tak boleh request?" Sahut isteriku memecah lamunan diri. Ia terbit dari perasaan hati yang tidak mahu berpisah lama dengan suami tercinta. Pengalaman perit membesarkan anak-anak kesaorangan pada dua tahun lalu masih belum pulih. Beliaulah kehulu kehilir menghantar anak ke sekolah, hantar Arsyad ke rumah pengasuh dan dalam masa yang sama berkerja. Routine harian ini semestinya akan berulang dari pagi, tengahari dan lewat malam. Pengalaman yang cukup menyiksakan bagi seorang wanita bergelar ibu merangkap ayah selama hampir tiga bulan, dua tahun lalu. Kalau boleh diikhtiarkan, pengalaman itu tidak mahu diulangi lagi pada musim haji kali ini.
Aku tidak mahu meminta-minta dalam urusan penempatan bertugas ini. Yang penting aku mengikhlaskan diri, bertugas menyambut para Duyufurrhmaan kerana Allah semata-mata.
Kedua, perasaan gembira kerana dipilih oleh Allah menjadi tetamunya buat kali ketiga. Tambahan pula dipilih menjadi petugas sebagai penyambut para tetamu Allah di Tanah Suci. Aku suka melihat wajah-wajah bersih bakal jemaah haji yang telah bebas dari hutang, telah bermaafan panjang dengan saudara mara dan telah berkorban untuk semata-mata menunaikan fardu kelima ini.
“YA Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kepadaku haji yang Mabrur, Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga“.
Monday, November 03, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 1