Followers

ziddu

Monday, June 09, 2008

BUKTI SAINTIFIK MENGENAI PERUBATAN BAHAN BERMAGNET


Berubat menggunakan gelang magnet atau tilam bermagnet semakin berleluasa akhir-akhir ini. Kononnya gelang magnet boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis dan beberapa penyakit pelik yang lain. Testimoni yang dipaparkan begitu menakjubkan sehingga tiada lagi ubatan lain yang boleh menandingi gelang atau tilam magnet tersebut. Paling memberangsangkan ada pengguna yang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata ingin memiliki barangan tersebut.

Sejauh manakah gelang, tilam, dan tali pinggang tersebut terbukti keberkesanannya? Di sini saya mengemukakan beberapa bukti kajian sains yang dijalankan terhadap dakwaan di atas.

Satu isu yang hangat dibahaskan adalah pemakaian gelang bermagnet dikalangan lelaki. Lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita kerana hukumnya haram dengan memakai gelang, walaupun bertujuan perhiasan atau perubatan. Tetapi dalam keadaan tertentu ianya diharuskan seperti pengenalan diri semasa berada ditanah suci.

Majalah i keluaran Mac 2008 mengeluarkan artikel padat mengenai hukum memakai gelang magnet bagi lelaki. Tulisan tersebut saya kira cuba menyelesaikan beberapa salah tanggapan dan salah faham dari sudut hukum agama. Antara huraiannya, ada sesetengah ulama berpandangan harus memakainya bagi tujuan berubat. Ada pandangan yang mengharamkan terus dengan beberapa hujah yang dikemukakan. Artikel tersebut dapat disimpulkan bahawa memakai gelang magnet hukumnya haram melainkan alasan perubatan setelah terdapat bukti secara saintifik.

Artikel dari ulasan Cochrane[2] (salah satu sumber sahih perubatan dalam menjalankan kajian saintifik) tidak menunjjukkan bukti yang jelas bahawa perubatan menggunakan magnet ini berkesan. F Crawford dan C Thompson[3] menyatakan beberapa kajian yang dijalankan menggunakan magnet bagi pesakit tapak kaki, tidak menyokong keberkesanan penggunaannya. Jelasnya lagi suntikan steriod oleh pengamal perubatan mendatangkan kesan yang lebih berbanding dengan perubatan lain seperti magnet, ubat sapu steroid atau perubatan aruhan eletrik. Ubat suntikan steriod hanya boleh dijalankan oleh doktor pakar yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH[4] pula menyatakan bahawa tiada bukti nyata dan tiada manfaat dalam penggunaan bahan bermagnet dalam merawat sakit tengkuk yang kronik.

Pencarian lebih dari 20 artikel kajian saintifik ini tidak menyokong penggunaan alat perubatan berasaskan magnet, menunjukkan bahawa dakwaan sesetengah pihak adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk melariskan jualan mereka sahaja.

Perkara yang paling utama yang perlu diberitahu kepada pengguna lelaki muslim adalah, tidak harus bagi mereka memakai gelang bermagnet bagi tujuan perubatan. Ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik ketidak berkesanannya. Malah ianya juga merugikan masa dan wang ringgit .


[1] Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia

[2] http://www3.interscience.wiley.com/

[3] Crawford F, Thomson C. Interventions for treating plantar heel pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2003, Issue 3.

[4] Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH, Cervical Overview Group. Electrotherapy for neck disorders. Cochrane Database of Systematic Reviews 2005, Issue 2. pub3.

0 Responses to “BUKTI SAINTIFIK MENGENAI PERUBATAN BAHAN BERMAGNET”

Post a Comment

Networkedblog