Followers

ziddu

Sunday, June 22, 2008

Antara Pangkat dan Maruah Diri


Seingat aku, inilah pertama kali semenjak menjadi doktor, aku panas dengan sikap Pesakit dan warisnya. Ceritanya begini;
Pada suatu pagi, ketika hari klinik yang agak sibuk, nurse educator menelefon untuk merujuk pesakit. Aku seperti biasa menerimanya dengan dada terbuka.
"Assalamualaikum!'' Mak Cik usia emas memberi salam dan masuk ke bilik aku dengan perlahan. Senyuman hambar dilontarkan ke arah ku. Riak tidak selesa dengan pertemuan ini tergambar diwajahnya.
''Waalaikumussalam.....'' jawabku ringkas. "Sila duduk....Mak Aji". Begitulah selalunya pemanis bicara yang ku ucap kepada semua pesakit yang memasuki bilik ini.
''Guane pulak hari ni?'' Terpacul dimulutku seolah sudah mengenali lama Mak Aji tadi. Beliau agak kaget kerana belum sempat duduk, menyusul soalan kedua dariku.
Mak Cik tersipu-sipu malu, lalu duduk atas kerusi sebelah kiri. Wanita separuh umur yang mengiringi beliau juga terus duduk di kerusi hadapan. Cuba memasang telinga untuk tindakan selanjutnya dariku.
Kad pesakit ku teliti dengan rapi. Tekanan darah tinggi sememangnya tidak terkawal sejak dari dulu. Bacaan tekanan darah hari ini bagai bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. Tambahan pula bacaan kencing manis mencapai 27.0 mmol/l. Bacaan yang begitu tinggi. Bila-bila masa sahaja boleh pengsan akibat darah tinggi dan kencing manis. Mak Aji sugul di sisi, hilang kata-kata, bermonolog menyalahkan diri sendiri yang tidak patuh makan ubat serta tidak berpantang.
Setelah memeriksa dan menganalisa permasalahan yang dihadapi oleh Mak Aji, selayaknya beliau dimasukkan ke wad untuk distabilkan. Pening kepala, huyung dan berpeluh sejuk seperti yang diutarakan oleh beliau adalah tanda-tanda mandatori untuk dimasukkan ke wad.
Tiba-tiba wanita separuh umur yang mengiringi beliau membuka mulut. Bersikap antagonis dan menentang secara terbuka keputusanku. Pada pandangan beliau, ibunya masih segar dan boleh lagi diubat dengan hanya memberi ubatan untuk dibawa pulang. Penentangannya persis seorang pakar perubatan yang membuat arahan kepada doktor junior.
Aku terkedu seketika. Sebelas tahun menjadi doktor, tidak pernah lagi mendapat penentangan sebegini. Dengan perawakan dan perwatakan ku selama ini biasanya pesakit menerima apa-apa keputusan yang aku buat. Api yang marak jangan disimbah dengan minyak! Aku memberi penjelasan dan justifikasi kenapa Mak Aji wajib dimasukkan ke wad.
"Kalu dok maghi lagi ta'di, dok jadi ggini" Beliau mula menyelar ibunya kerana mengajak beliau untuk datang ke klinik.
"Oghe tengoh sibuk mesyuarat wanita kawase, ajok jugok maghi". Dia mula melepaskan geram.
"Ni doh pukol berapo dah, tak selesai lagi. Pah tu keno masuk wad. payoh la lagi ni....'' Sergah beliau dengan beberapa ayat tambahan yang kurang sedap didengar.
Mak Aji mula bergenang air mata. Hadapi dilema antara berubat atau ikut arahan anak. Mana tidaknya, beliau terpaksa bergantung hidup dengan anaknya setelah kematian ayah aji 3 tahun lalu. Segala keputusan hidup terpaksa menumpang anak cucu. Walaupun hal-hal yang melibatkan sakit demam. Kalau anaknya tiada masa hantar dia ke klinik, pendek kata berbulanlah tiada bekalan ubat.
''eh kak wan, mak ni sakit serius, perlu masuk wad.'' Aku mula mencelah dengan nada sedikit tinggi.
"Kak wan tau tak, apa kesan darah tinggi dan kencing manis yang tak terkawal macam ni?" Soalku tanpa mengharap jawapan.
“Dia ni memang ggini doktor, maghi dulu pun tinggi macam ni juga..tak ada apa-apa pun”. Celah kak wan cuba memenangkan situasi.
Aku kaget dengan jawapan itu. Memang kalau ikutkan rekod lepas, tekanan darah dan paras gula sentiasa tidak terkawal.
“Ni lah sebabnya saya nak sangat Mak Aji masuk wad. Lama-lama kalau macam ni boleh jadi pengsan tanpa disedari. Masa nilah boleh jadi strok atau sakit serangan jantung”. Tegasku sambil berleter panjang.
“Dulu memang darah tinggi dan gula tak terkawal, tapi tak seperti hari ni. Tinggi ngganang!(terlampau sangat). Memang perlu masuk wad segera”. Aku mengulang nada yang sama supaya kata-kataku meyakinkan anak Mak Aji yang keras hati ni.
“Walau apa jadi pun, saya tak nak mak saya masuk wad. Saya banyak urusan yang masih tak selesai. Saya ketua wanita dan mesyuarat Agung masih belum selesai lagi!”. Nadanya tinggi sekali gus mematikan kata-kata pujukku.
“Mari mak kita balik! Saya dah lewat ni.” Katanya mendesak agar bergerak segera.
Aku terkulat-kulat dengan peristiwa yang tak disangka-sangka sebegini. Tak pernah lagi pesakit ingin engkar didepanku. Aku mula tercabar dengan tindakan tergesa-gesa tanpa aku menyelidik lanjut isi hati kenapa dua beranak ini bertindak nekad.
“Mana boleh macam ni. Mak Aji mesti masuk wad atau sekurang-kurangnya ambik ubat.” Aku mula bercakap tegas.
“Doktor bagi je lah ubat”. Sambil berjalan menuju pintu untuk keluar.

Apa ayat yang patut aku keluarkan pada masa ni?

Pertembungan antara kesihatan diri dan pangkat?...Ada lagi manusia sebegini yang bersikap demikian.............

2 Responses to “Antara Pangkat dan Maruah Diri”

Anonymous said...
Tue Jul 01, 07:47:00 PM

salam dr...

dahulu semasa saya bekerja di klinik kesihatan ada jugak fenomena ini berlaku....si anak ni macam tiada insight bahawa emak atau ayahnya sakit walaupun x nampak dgn mata kasar...nauzubillah...kesian org tua itu....betullah kata org, anak sedozen boleh dipelihara,ibu bapa hanya berdua belum tentu sedozen anak bolah jaga...apalah sangat dgn jawatan ketua wanita...buat malu saja....moga anak itu cepat bertaubat....

ruth sabrina, a@e MO
md usm
batch ke 19....


Anonymous said...
Thu Jul 10, 10:29:00 PM

Ketuo wanita umno ko? Meme pade ah peranga lagu tupun! Astaghfirullahal'azim..


Post a Comment

Networkedblog