Followers

ziddu

Sunday, June 22, 2008

Antara Pangkat dan Maruah Diri


Seingat aku, inilah pertama kali semenjak menjadi doktor, aku panas dengan sikap Pesakit dan warisnya. Ceritanya begini;
Pada suatu pagi, ketika hari klinik yang agak sibuk, nurse educator menelefon untuk merujuk pesakit. Aku seperti biasa menerimanya dengan dada terbuka.
"Assalamualaikum!'' Mak Cik usia emas memberi salam dan masuk ke bilik aku dengan perlahan. Senyuman hambar dilontarkan ke arah ku. Riak tidak selesa dengan pertemuan ini tergambar diwajahnya.
''Waalaikumussalam.....'' jawabku ringkas. "Sila duduk....Mak Aji". Begitulah selalunya pemanis bicara yang ku ucap kepada semua pesakit yang memasuki bilik ini.
''Guane pulak hari ni?'' Terpacul dimulutku seolah sudah mengenali lama Mak Aji tadi. Beliau agak kaget kerana belum sempat duduk, menyusul soalan kedua dariku.
Mak Cik tersipu-sipu malu, lalu duduk atas kerusi sebelah kiri. Wanita separuh umur yang mengiringi beliau juga terus duduk di kerusi hadapan. Cuba memasang telinga untuk tindakan selanjutnya dariku.
Kad pesakit ku teliti dengan rapi. Tekanan darah tinggi sememangnya tidak terkawal sejak dari dulu. Bacaan tekanan darah hari ini bagai bom jangka yang akan meletup bila-bila masa. Tambahan pula bacaan kencing manis mencapai 27.0 mmol/l. Bacaan yang begitu tinggi. Bila-bila masa sahaja boleh pengsan akibat darah tinggi dan kencing manis. Mak Aji sugul di sisi, hilang kata-kata, bermonolog menyalahkan diri sendiri yang tidak patuh makan ubat serta tidak berpantang.
Setelah memeriksa dan menganalisa permasalahan yang dihadapi oleh Mak Aji, selayaknya beliau dimasukkan ke wad untuk distabilkan. Pening kepala, huyung dan berpeluh sejuk seperti yang diutarakan oleh beliau adalah tanda-tanda mandatori untuk dimasukkan ke wad.
Tiba-tiba wanita separuh umur yang mengiringi beliau membuka mulut. Bersikap antagonis dan menentang secara terbuka keputusanku. Pada pandangan beliau, ibunya masih segar dan boleh lagi diubat dengan hanya memberi ubatan untuk dibawa pulang. Penentangannya persis seorang pakar perubatan yang membuat arahan kepada doktor junior.
Aku terkedu seketika. Sebelas tahun menjadi doktor, tidak pernah lagi mendapat penentangan sebegini. Dengan perawakan dan perwatakan ku selama ini biasanya pesakit menerima apa-apa keputusan yang aku buat. Api yang marak jangan disimbah dengan minyak! Aku memberi penjelasan dan justifikasi kenapa Mak Aji wajib dimasukkan ke wad.
"Kalu dok maghi lagi ta'di, dok jadi ggini" Beliau mula menyelar ibunya kerana mengajak beliau untuk datang ke klinik.
"Oghe tengoh sibuk mesyuarat wanita kawase, ajok jugok maghi". Dia mula melepaskan geram.
"Ni doh pukol berapo dah, tak selesai lagi. Pah tu keno masuk wad. payoh la lagi ni....'' Sergah beliau dengan beberapa ayat tambahan yang kurang sedap didengar.
Mak Aji mula bergenang air mata. Hadapi dilema antara berubat atau ikut arahan anak. Mana tidaknya, beliau terpaksa bergantung hidup dengan anaknya setelah kematian ayah aji 3 tahun lalu. Segala keputusan hidup terpaksa menumpang anak cucu. Walaupun hal-hal yang melibatkan sakit demam. Kalau anaknya tiada masa hantar dia ke klinik, pendek kata berbulanlah tiada bekalan ubat.
''eh kak wan, mak ni sakit serius, perlu masuk wad.'' Aku mula mencelah dengan nada sedikit tinggi.
"Kak wan tau tak, apa kesan darah tinggi dan kencing manis yang tak terkawal macam ni?" Soalku tanpa mengharap jawapan.
“Dia ni memang ggini doktor, maghi dulu pun tinggi macam ni juga..tak ada apa-apa pun”. Celah kak wan cuba memenangkan situasi.
Aku kaget dengan jawapan itu. Memang kalau ikutkan rekod lepas, tekanan darah dan paras gula sentiasa tidak terkawal.
“Ni lah sebabnya saya nak sangat Mak Aji masuk wad. Lama-lama kalau macam ni boleh jadi pengsan tanpa disedari. Masa nilah boleh jadi strok atau sakit serangan jantung”. Tegasku sambil berleter panjang.
“Dulu memang darah tinggi dan gula tak terkawal, tapi tak seperti hari ni. Tinggi ngganang!(terlampau sangat). Memang perlu masuk wad segera”. Aku mengulang nada yang sama supaya kata-kataku meyakinkan anak Mak Aji yang keras hati ni.
“Walau apa jadi pun, saya tak nak mak saya masuk wad. Saya banyak urusan yang masih tak selesai. Saya ketua wanita dan mesyuarat Agung masih belum selesai lagi!”. Nadanya tinggi sekali gus mematikan kata-kata pujukku.
“Mari mak kita balik! Saya dah lewat ni.” Katanya mendesak agar bergerak segera.
Aku terkulat-kulat dengan peristiwa yang tak disangka-sangka sebegini. Tak pernah lagi pesakit ingin engkar didepanku. Aku mula tercabar dengan tindakan tergesa-gesa tanpa aku menyelidik lanjut isi hati kenapa dua beranak ini bertindak nekad.
“Mana boleh macam ni. Mak Aji mesti masuk wad atau sekurang-kurangnya ambik ubat.” Aku mula bercakap tegas.
“Doktor bagi je lah ubat”. Sambil berjalan menuju pintu untuk keluar.

Apa ayat yang patut aku keluarkan pada masa ni?

Pertembungan antara kesihatan diri dan pangkat?...Ada lagi manusia sebegini yang bersikap demikian.............

Sunday, June 22, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 2

Monday, June 09, 2008

BUKTI SAINTIFIK MENGENAI PERUBATAN BAHAN BERMAGNET


Berubat menggunakan gelang magnet atau tilam bermagnet semakin berleluasa akhir-akhir ini. Kononnya gelang magnet boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis dan beberapa penyakit pelik yang lain. Testimoni yang dipaparkan begitu menakjubkan sehingga tiada lagi ubatan lain yang boleh menandingi gelang atau tilam magnet tersebut. Paling memberangsangkan ada pengguna yang sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata ingin memiliki barangan tersebut.

Sejauh manakah gelang, tilam, dan tali pinggang tersebut terbukti keberkesanannya? Di sini saya mengemukakan beberapa bukti kajian sains yang dijalankan terhadap dakwaan di atas.

Satu isu yang hangat dibahaskan adalah pemakaian gelang bermagnet dikalangan lelaki. Lelaki tidak dibenarkan menyerupai wanita kerana hukumnya haram dengan memakai gelang, walaupun bertujuan perhiasan atau perubatan. Tetapi dalam keadaan tertentu ianya diharuskan seperti pengenalan diri semasa berada ditanah suci.

Majalah i keluaran Mac 2008 mengeluarkan artikel padat mengenai hukum memakai gelang magnet bagi lelaki. Tulisan tersebut saya kira cuba menyelesaikan beberapa salah tanggapan dan salah faham dari sudut hukum agama. Antara huraiannya, ada sesetengah ulama berpandangan harus memakainya bagi tujuan berubat. Ada pandangan yang mengharamkan terus dengan beberapa hujah yang dikemukakan. Artikel tersebut dapat disimpulkan bahawa memakai gelang magnet hukumnya haram melainkan alasan perubatan setelah terdapat bukti secara saintifik.

Artikel dari ulasan Cochrane[2] (salah satu sumber sahih perubatan dalam menjalankan kajian saintifik) tidak menunjjukkan bukti yang jelas bahawa perubatan menggunakan magnet ini berkesan. F Crawford dan C Thompson[3] menyatakan beberapa kajian yang dijalankan menggunakan magnet bagi pesakit tapak kaki, tidak menyokong keberkesanan penggunaannya. Jelasnya lagi suntikan steriod oleh pengamal perubatan mendatangkan kesan yang lebih berbanding dengan perubatan lain seperti magnet, ubat sapu steroid atau perubatan aruhan eletrik. Ubat suntikan steriod hanya boleh dijalankan oleh doktor pakar yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH[4] pula menyatakan bahawa tiada bukti nyata dan tiada manfaat dalam penggunaan bahan bermagnet dalam merawat sakit tengkuk yang kronik.

Pencarian lebih dari 20 artikel kajian saintifik ini tidak menyokong penggunaan alat perubatan berasaskan magnet, menunjukkan bahawa dakwaan sesetengah pihak adalah tidak benar dan hanya bertujuan untuk melariskan jualan mereka sahaja.

Perkara yang paling utama yang perlu diberitahu kepada pengguna lelaki muslim adalah, tidak harus bagi mereka memakai gelang bermagnet bagi tujuan perubatan. Ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik ketidak berkesanannya. Malah ianya juga merugikan masa dan wang ringgit .


[1] Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia

[2] http://www3.interscience.wiley.com/

[3] Crawford F, Thomson C. Interventions for treating plantar heel pain. Cochrane Database of Systematic Reviews 2003, Issue 3.

[4] Kroeling P, Gross A, Goldsmith CH, Cervical Overview Group. Electrotherapy for neck disorders. Cochrane Database of Systematic Reviews 2005, Issue 2. pub3.

Monday, June 09, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0

Thursday, June 05, 2008

Pondok Kecil PAPISMA


i.

PAPISMA diibaratkan seperti sebuah rumah.

ii.

Dibina dengan penuh insaf kira-kira 10 tahun lalu. Awalnya beratapkan rumbia berdindingkan buluh sasak dan berlantaikan tikar mengkuang. Kini sudah mula teguh dengan binaan batu bercampur papan. Tegap dipandang orang tapi masih goyah jika kita menilai diri sendiri. Di sini kami sekeluarga hidup bahagia. Majlis bandaran tak hiraukan CF atau bising pasal tidak masuk dalam bancian. Cuma kami sendiri rasa takut kerana anak-anak makin membesar dan rumah perlu diperluaskan. Sekali sekala takut dengan jentolak majlis bandaran yang sudah saban hari mengintai kami sekelurga. Dengan sedikit kekuatan kami anak beranak mula membina rumah baru ditapak yang sedia ada. Kami berpakat membubuh nama rasminya- PAPISMA. Abang-abang yang besar dan berani mula mendaftar nama itu supaya kehidupan kami terjamin dan dapat menjalankan kehidupan bermasyarakat tanpa rasa takut. Alhamdulillah, prosesnya berjalan lancar. Kami sekeluarga mula hidup dengan azam baru, wawasan baru, semangat baru dan kepimpinan baru.

iii.

Di pondok kecil

dipukul ombak

di tepi pantai

yang beralun

Wahai adikku...jangan bersedih [dengar lagu]

iv.

Anak-anak kami makin ramai. Yang sulong dengan halnya tersendiri. Yang tengah sibuk dengan program master. Yang bongsu masih manja-manja untuk beraktiviti. Tidak kurang juga ada yang demand ayah ibu. Biasalah ini lumrah hidup kami sekeluarga yang ditempuhi. Yang penting perjuangan untuk meneruskan kehidupan mesti diteruskan jua. Walau apa rintangan sekalipun. Kami merasakan sudah masak dan matang dalam karenah kehidupan ini. Aktiviti kami sekeluarga adalah biasa, seperti orang kebanyakan yang dahagakan ilmu dan ingin terus berbakti kepada masyarakat. Selalunya kami buat kerja kumpulan seperti masak-masak dan bahagikan kepada masyarakat setempat. Aktiviti masak-masak ini dijalankan oleh kami secara muafakat. Tanpa meminta ihsan dari orang ramai untuk menghulurkan bantuan. Walaupun sekali sekala kita menerima bantuan dari orang dermawan. Pendek kata aktiviti masak-masak kami dibiayai oleh poket-poket kami sendiri. Program masak-masak ini menjadi agenda utama kami sejak tiga tahun penubuhan rumah baru. Ini kerana ramai ahli keluarga kami berkelulusan masak-memasak dari dalam mahupun luar negeri. Terasa canggung untuk ahli keluarga yang sudah biasa dengan aktiviti masak-masak diganti dengan permainan congkak atau lastik burung. Walaupun ramai ahli masak-masak tadi pandai untuk main congkak dan lastik burung. Adik beradik lain yang berjurusan congkak dan lastik burung selalu merungut kerana ayah ibu tidak menyediakan prasarana untuk bermain congkak atau lastik burung. Walhal kalau diselidiki kembali aktiviti masak-masak pun tidak mendapat sambutan jitu dari adik beradik berjurusan itu. Biasanya angah dan achiklah yang selalu memeriahkan aktiviti masak-masak. Tiap-tiap minggu angah dan achik keluar untuk masak-masak. Sekarang ini aktiviti masak-masak ini bukan sahaja diatur oleh ayah ibu, malah bapa saudara kami pun sudah mula berminat dengan masakan kami. Tambahan pula menjelang hari raya, tempahan bertimbun-timbun. Angah dan achiklah selalu di'kerja'kan oleh Pakcik. Namun kami bangga, angah dan achik bermotivasi tinggi. ''Jika tidak sanggup menerima resiko, jangan sebut pasal perjuangan", kata mereka.

v.

Puas memikirkan cara untuk mengajak along-along, anjang-anjang dan adik-adik su untuk turut serta main masak-masak. Kalau semua turun lagi seronok. Along Man selalu beralasan bahawa usia sudah menjadi penghalang untuk turun padang. Tetapi kenapa Along Umar boleh turun? Tidak nampak janggal pun. Kak Long Jah lain ceritanya. Dia rasa kekok dan takut jika bosnya tahu dia main masak-masak. Kerja mestilah kena jaga status diri. Kalau bosnya tahu pasti kena sound. Kak Long Jah akan turun kalau aktiviti masak-masak diadakan dikampung lain. Kurang sikit resiko orang nak report kepada bos dia.

Anjang Aziz selalu tak kena dengan jadual kerja. Aktiviti masak-masak diberitahu lewat. Dua tiga hari sebelum aktiviti baru ibu beritahu. Ayah ibu pun satu hal. Lambat inform. Aktiviti menjadi kelam kabut pabila pakcik masuk campur dan program sudah diatur katanya. Masak-masak berjalan juga tetapi tak sempurna. Kalau masak tomyam, rasanya macam sup. Kueh bengkang jadi koleh. Ayah ibu jua yang rasa aib kerna anak-anak buat tak sempurna.

vi.

Adik Su yang mahir lastik burung pun boleh bantu main masak-masak. Ayah kata keluarga kita buat masa ini sudah sinonim dengan masak-masak. Memang waktu kemuncak aktiviti masak-masak adalah sewaktu memasak. Akan tetapi persediaan bahan sebelum memasak amat penting. Mee kari tak akan sedap jika bahan mentah tak cukup. Bebola ikan perlu dipotong, ayam perlu disiat-siat, sayur perlu direbus. Udang dan kerang perlu ada untuk menambah selera. Siapa yang perlu sediakan semua itu? Takkan angah dan achik? Sentuhan adik Su perlu bagi menambah manis aktiviti masak-masak. Adik Su perlu proaktif bertanyakan angah, achik atau ayah mengenai bantuan apa-apa bagi melicinkan program. Jangan tunggu ayah bersungut atau ibu berleter panjang. Mungkin lepas musim raya ni kita hentikan sementara aktiviti masak-masak. Kita tumpukan pula permainan congkak dan lastik burung.

vii.

Mari mara menuju cita-cita

Menegakkan iman

Menjalinkan ukhuwwah

Membangunkan ummah

Dengar lagu seterusnya

Thursday, June 05, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0

Hukum Peraduan SMS Menang CAMRY


Hukum Peraduan SMS Menang CAMRY

toyota camry
Sebuah berita menyebut :-

KUALA LUMPUR : Celcom ( Malaysia ) Bhd menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayarnya menerusi peraduan 'Celcom 100 Hari 100 Kereta' bermula hari ini.

i. sebuah kereta akan diberi setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pemenang peraduan berkenaan.

ii. Pelanggan perkhidmatan Celcom yang berminat menyertai peraduan itu hanya perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222. Promosi itu terbuka kepada pelanggan sedia ada dan baru Celcom.

iii. Pelanggan yang dapat menjawab 10 soalan dengan tepat serta mendapat mata paling banyak akan dipilih sebagai pemenang.

iv. Peserta dengan mata tertinggi juga berpeluang memenangi tambahan sebuah kereta Toyota Camry model sama pada hujung minggu.

v. Setiap SMS yang dihantar dikenakan RM5.

vi. Kempen itu berlangsung selama 100 hari bermula hari ini hingga 9 September ini. Pada masa ini, Celcom mempunyai 1.5 juta pelanggan pasca bayar dan 6.3 juta pelanggan pra bayar.

vii. Beliau berkata, promosi 100 hari itu bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan setia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat berkenaan

ULASAN UZAR :
Secara rasmi dan mudahnya, ia adalah peraduan yang haram di sisi Islam kerana perjudian. Ini kerana semua peserta yang menghantar SMS terdedah kepada kerugian RM 50 (kerana mesti menjawab 10 soalan terlebih dahulu, sedangkan satu sms = RM 5) atau berpeluang mendapat untung sebuah kereta. Hanya seratus orang akan berjaya dari berjuta peserta. Syarikat pasti meraih untung yang lebih berbanding peserta.
Ia tidak ubah seperti peraduan "Who Wants To Be A Millionaire" dengan sedikit perbezaan sahaja.
Peserta mungkin berkata
"Alah, apalah sangat dengan RM 5 atau RM 50 .. redha sahaja, kami tidak rasa dizalimi pun"
Namun wajib diingati, pengharaman perjudian adalah hak Allah swt dan sebarang keredhaan dalam perkara yang menjadi hak Allah adalah TERTOLAK. Redha dalam hal dosa seperti ini, adalah redha maksiat. Malah lebih dahsyat dari itu, kerdehaan dalam perilaku dosa yang mencarik hak Allah adalah akan menjadikan ia sebagai satu dosa yang lebih besar.
Mungkin juga ada yang berkata :-
"Tapi ustaz, bukankah ada manfaat untuk kita peraduan sebegini, bukan senang nak dapat peluang "
Memang benar ada manfaatnya, namun keburukannya jauh lebih besar, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt sendiri :-
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya ( Al-Baqarah : 219 )
Saya teringat pernah menonton "National Geographic" yang mendokumentasikan perihal pusat perjudian di Macau. Saya masih ingat kata-kata pengusaha dan pemain judi dalam interview dengan wartawan dokumentasi itu,
"dari 10 kali main, biasnya hanya sekali menang dan 9 kali kalah".
Berikut pula info yang amat jelas dari seorang yang telah menyertai peraduan ini, saya petik dari ruangan komen di bawah. Ia sangat membuktikan ia judi yang amat menindas dan zalim.
Pada 2 Jun (iaitu tarikh bermula peraduan tersebut) saya mula hantar SMS jam 8.30 mlm. Sehingga pukul 1 pagi, keseluruhan SMS yang saya terima daripada syarikat tersebut lebih kurang 200 SMS. yang di caj RM5 ialah lebih kurang 60 SMS. Dengan harapan yang menggunung untuk memperolehi kereta tersebut, saya telah melabur sebanyak RM300.

terus terang saya katakan,saya turut menunaikan solat hajat untuk memenangi pertandingan ini. Hajat saya jika menang ialah dapatlah saya ringakan beban saya membayar hutang kereta yang sedia ada, selain dapat menggunakannya untuk buat ibadat (pergi kerja, berteduh, masjid)-- adakah tindakan saya betul ustaz??

Setiap SMS yang diterima sangat teruja dan membuatkan pelanggan akan sentiasa ingin ber SMS dan menjawab soalan. Maka, saya telah terperangkap dalam permainan ini.

Itulah sifat judi, pengusaha akan sentiasa lebih mendapat manfaat dan keuntungan. Ia sememangnya sebuah permainan yang amat buruk.
Jauhilah darinya, apatah lagi solat hajat dalam berjudi. Segeralah sampaikan kepada adik beradik, rakan-rakan dan taulan. Jangan sampai sebuah kereta Camry menyebabkan penyesalan tak sudah di alam barzakh dan akhirat kelak.
Akhirnya firman Allah s.w.t tentang pengharaman judi yang disamakan dengan najis dan kerja Syaitan:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90 )
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
3 Jun 2008

Thursday, June 05, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0

Tuesday, June 03, 2008

Download E Book


Networkedblog