Followers

ziddu

Tuesday, January 11, 2005


Sedikit catatan mengenai mesjid Baitur Rahman yang masih utuh walau diterjang ombak tsunami.

Ketika Belanda mengistiharkan perang secara resmi ke atas Aceh pada 26 March 1873, mesjid Baitur Rahman menjadi medan tempur yang sengit di antara tentera kompeni (Belanda) dan rakyat Aceh. Jenderal Belanda Kohler menemui ajalnya di perkarangan mesjid tersebut. Slogan jihad yang dilaungkan oleh tentera Aceh 'Udep Sare Mate Syahid' (Hidup Mulia Mati Syahid) telah berjaya mengundurkan tentera Belanda sehingga mereka terpaksa mengambil pendekatan halus untuk menundukkan Aceh. Kekalahan inilah yang telah mendorong Belanda menghantar sarjana terunggulnya Christian Snouch Hurgronje untuk memainkan peranannya sebagai penasihat 'kantoor voor inlandshe Zaken' (penasihat hal-hal anak negeri).

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan betapa wartawan mengalirkan air mata ketika menyaksikan mesjid Baitur Rahman dan mesjid di Meulaboh yang masih berdiri walaupun kawasan sekitarnya ranap samasekali. Ketika mereka menyaksikan keajaiban itu, air mata mengalir dengan sendirinya. Saya yakin siapapun akan tersintuh dan hati akan berbicara 'Maha Suci Allah yang telah memelihara rumahNya'

Kita sekali-kali tidak akan menjadikan ini sebagai hujjah untuk menonjolkan kebenaran Islam. Kita tidak akan beria-ia menjadikan ia sebagai bukti kebenaran Islam. Islam tidak perlu kepada 'keajaiban-keajaiban' untuk diketengahkan kepada masyarakat. Sejarah membuktikan keajaiban (mukjizat) bukan bertujuan untuk menarik manusia kepada kebenaran Islam tetapi ia lebih bertujuan untuk meningkatkan keimanan orang mukmin. Sebagai contoh, orang-orang kafir Quraish menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri betapa bulan terbelah dua di hadapan mukjizat Allah, namun mereka tetap tidak beriman. Peristiwa isra mikraj juga adalah satu keajaiban, namun ia menjadikan orang kafir semakin ragu. Sebaliknya orang mukmin meningkat keimanan mereka.

Bagi kita orang mukmin, Allah berhak melindungi rumahNya. Dia telah melindungi Baitullah lil haram ketika tentera bergajah Abrahah datang untuk meruntuhkannya. Ketika Abrahah masuk ke kota Makkah dia disambut oleh Abdul Mutallib yang ingin berunding agar Abrahah menyerahkan kembali haiwan ternakan penduduk Makkah yang dirampas oleh tentera Abrahah. Abrahah sangat hairan bagaimana seorang pemimpin Makkah yang dihormati bertemu dengannya hanya untuk mendapatkan semula haiwan ternakan sedangkan tujuan kedatangannya ialah untuk meruntuhkan kaabah. Maka kata Abdul Mutallib, kaabah itu ada empunyanya dan Dia akan memeliharanya'. Ternyata Allah SWT memelihara mesjidnya dari angkara durjana tentera Abrahah. Sebaliknya Abrahah dan tenteranyalah yang dimusnahkan Allah.

Sebagaimana burung-burung ababil adalah jundullah, maka tsunami juga adalah merupakan sebahagian dari jundullah. Dia diperintahkan Allah untuk melanggar daerah persisiran pantai Aceh dan semua daerah yang berada di lingkungan Lautan Hindi. Ombak tsunami dengan akur melaksanakan amanahnya, menyapu bersih seluruh pelosok bumi laluannya bersama dengan penghuni-penghuninya. Allah memerintahkan agar ia meranapkan apa jua struktur yang merintangi kecuali rumah-rumah Allah. Maka ketika bangunan lain rebah menyembah bumi diterjang ombak, mesjid-mesjid Allah itu tetap bertahan. Apakah yang hendak dihairankan?

Yang sepatutnya dihairankan ialah kita yang masih belum mengambil pengajaran. Apakah kejadian-kejadian ini semakin menambat hati kita ke mesjid?

Di Aceh apabila ombak datang bergulung-gulung, orang ramai lari bertempiaran mencari perlindungan. Di saat mereka begitu terdesak, mesjidlah yang mereka tuju. Ternyata sebahagian dari mereka yang mencari perlindungan di mesjid di selamatkan Allah.

Semuga peristiwa ini melembutkan hati dan meringankan kaki kita untuk melangkah ke mesjid setiap kali azan di laungkan. Kerana apabila bencana ditimpakan oleh Allah, satu-satunya tempat yang akan kita tuju ialah rumah Allah jua.. Posted by Hello

0 Responses to “ ”

Post a Comment

Networkedblog