Followers

ziddu

Saturday, October 04, 2003


PAS cabar BN senarai tuntutan pemimpin

Thursday, October 02 @ 10:57:54 MYT


KUALA TERENGGANU, 2 Okt (Hrkh)  Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar kerajaan Barisan Nasional menyenaraikan semua tuntutan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet termasuk beliau sendiri.


Katanya, senarai itu hendaklah disiarkan kepada umum supaya rakyat boleh membuat penilaian siapa yang lebih tinggi membuat tuntutan perjalanan.

Ini saya rasa akhbar tidak siar cabaran saya, ujarnya yang juga Menteri Besar Terengganu kepada wartawan di sini, semalam.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tuntutan perjalanan Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad yang paling tinggi iaitu RM132,335.40 pada tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad yang membuat tuntutan perjalanan kerana Apandi telah memberi khidmat yang sangat baik kepada rakyat di kawasannya.

Berikut ialah soalan-soalan wartawan yang dikemukakan oleh para wartawan dan jawapan-jawapan daripada Tuan Guru Abdul Hadi.

Wartawan: Dato Seri, selaku Ketua Pembangkang Parlimen. Baru-baru ini ada pendedahan tentang ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang yang membuat tuntutan yang agak melampau sehingga ada ura-ura pihak BPR akan membuat siasatan dalam perkara ini. Ahli Parlimen Jeli yang paling tinggi membuat tuntutan itu. Apa komen Dato Seri?

Tuan Guru Abdul Hadi: Komen saya itu adalah lebih bersifat politik untuk orang-orang yang bodoh dan tidak faham tentang pentadbiran parlimen. Sebarang tuntutan ahli parlimen mestilah mengisi borang yang disediakan oleh parlimen terlebih dahulu. Borang itu dihantar ke parlimen dan ditandatangani oleh beberapa orang pegawai di parlimen termasuk pihak audit parlimen sendiri. Baru diluluskan dan dibayar kepada ahli parlimen berkenaan. Saya dengar kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Parlimen sendiri itu adalah betul mengikut proses pentadbiran. Kita menyedari bahawa, kawasan Jeli adalah luas dan sebesar Pulau Pinang. Beliau juga merupakan wakil rakyat yang aktif dan berulang-alik ke kawasan dia melihat kawasan. Bahkan, beliau menyumbang kepada kawasan Jeli lebih dari jumlah tuntutan itu, mungkin berjuta ringgit kerana beliau ada kemampuan dan seorang korporat. Banyak pembangunan yang dibuat dalam kawasan dia sendiri. Dalam masa yang sama, perlu disedari ahli-ahli parlimen pembangkang tidak diberi peruntukan oleh kerajaan pusat, tidak sebagaimana kepada ahli-ahli parlimen pihak kerajaan. Di mana ahli parlimen boleh memberi pandangan projek-projek yang boleh dibuat di kawasan masing-masing. Tetapi ahli parlimen pembangkang dinafikan, dan ini adalah pencabulan terhadap demokrasi dengan tidak mengiktiraf kemenangan ahli-ahli parlimen ini. Dalam masa yang sama mereka menggunakan media untuk menipu rakyat-rakyat yang bodoh dan tidak ada pengetahuan tentang pentadbiran. Dan menjadi kebiasaan, apabila BPR menerima aduan kena buat siasatanlah. Itu urusan biasa dan saya tidak bimbang sedikit pun dalam perkara ini.

Wartawan: Ada Dato Seri mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Ahli Parlimen Jeli dalam hal ini?

Tuan Guru Abdul Hadi: Kalau dia tidak jelas pun saya tahu, tetapi dia telah jelaskan. Saya juga seorang ahli parliman sudah tiga penggal.

Wartawan: Jadi maksudnya, YB Apandi berbelanja lebih daripada peruntukan yang telah diberikan oleh parlimen.

Tuan Guru Abdul Hadi: Jangan kata begitu, itu tidak betul. Itu mengikut pentadbiran dan ada borang yang perlu diisi. Itu pegawai di Parlimenlah yang tidak betul kerana beliau mengisi borang tuntutan dan diberi kepada pengurusan parlimen. Ini semata-mata satu permainan politik yang jahat. Saya minta didedahkan termasuk Perdana Menteri supaya rakyat tahu berapa peruntukan yang diberikan kepada PM untuk melawat ke seluruh negara, dalam negeri termasuklah menggunakan alat-alat kerajaan untuk lawatan-lawatan politik. Mereka menyalahgunakan jentera kerajaan untuk lawatan politik, menggunakan kapal terbang kerajaan, helikopter kerajaan dan jentera kerajaan dalam program politik.





BERAMAL KERANA ALLAH
"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Rabb kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. " (Al-Ahqaf:13)


0 Responses to “ ”

Post a Comment

Networkedblog