Followers
Saturday, December 20, 2008
Ibarah Ibadah Haji
Imam Ghazali pernah mengibaratkan bahawa ibadah haji terdiri dari dua wajah
- Mati: Semasa berihram, kita hanya dibaluti dua kain putih yang tidak berjahit sahaja. Sama gambaran apabila kita meninggal dunia, kita dikafankan dengan kain kafan berwarna putih dan tidak dijahit. Pemergian untuk menunaikan haji seumpama menuju kematian. Segala hutang piutang diselesaikan, bermaaf-maafan dengan sanak saudara serta sahabat handai sebelum berangkat dan melepaskan segala tanggungjawab dunia yang sementara ini. Tidak ada apa yang kita bawa bekal kecuali iman, amal dan hati yang bersih menuju panggilan Ilahi.
- Perjalanan Akhirat: Bermula hari wukuf sehinggalah selesai menyelesaikan rukun-rukun dan wajib haji, adalah suatu pengalaman yang membayangkan suasana akhirat. Semuanya sama tanpa mengira pangkat dan status di dunia. Dua helai kain ihram berwarna putih sebagai pembalut badan, menutup kepanasan Arafah dan kesejukan Mudzalifah. Di sini mula timbul sifat kemanusiaan yang sebenar. Kita kembali kepada fitrah sebenar kehidupan seorang insan. Tiada tempat pergantungan hakiki kecuali hanya pada Allah. Itulah tawajjuh kita semasa seharian di Arafah.
''Mak Cik ni ditinggalkan oleh famili, orang lain semua nak pergi melontar. Sebab dia uzur dan tak larat nak berjalan, famili tinggalkan sementara kat Klinik Mina'' Rungut seorang rakan sejawat yang bertugas di Klinik Mina.
"Encik boleh tolong cari mak saya tak?..Tadi, selepas melontar kami berpisah!''. Rayu seorang jemaah yang kehilangan ibu tua di Mina.
''Dr boleh nasihatkan suami saya tak? Dia tak nak bercakap dengan saya sejak Arafah lagi.'' Pujuk seorang isteri yang mula terasa hati dengan perangai suaminya.
Inilah secebis peristiwa Arafah-Mudzalifah-Mina yang menggambarkan watak sebenar seorang manusia. Semuanya ingin berlepas diri sepanjang hari-hari haji. Sebenarnya inilah ujian semasa melakukan haji. Samada kita bersabar atau tidak. Dan ini adalah gambaran kecil semasa kita berada di Mahsyar nanti. Di mana setiap orang mempunyai urusan tersendiri yang perlu dihitung di hadapan Allah Rabbul Jalil.
Saturday, December 20, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 1
Wednesday, December 17, 2008
Mabuk dalam Penerbangan
Kepala berpusing, loya nak muntah, sakit sendi dan berpeluh. Itulah tanda-tanda jemaah yang mengalami mabuk dalam perjalanan.
Masalah utama pesakit semasa ketibaan di lapangan terbang adalah mabuk perjalanan. Lapan jam dalam kapal terbang, membuatkan jemaah menjadi rimas dan mula muntah-muntah.
Justeru, di bawah ini beberapa panduan untuk jemaah bagi mengelakkan serangan mabuk perjalanan.
· Rehat secukupnya sehari sebelum berlepas.
·
Jika anda dibenarkan memilih tempat duduk dalam pesawat, pilihlah barisan tengah bagi mengurangkan teradedah kepada objek bergerak di luar.
· Cari kawasan yang agak luas supaya dapat bernafas dengan lega.
· Cuba kaedah memicit pertengahan lengan untuk mengurangkan mabuk perjalanan. Bebola lengan ini terletak 2 sm dari urat melintang lengan. ('neiguan' in pericardium meridian): di antara dua tendon iaitu m. palmaris longus dan m. flexer radialis. Sila lihat gambar.
· Duduk separuh mengiring dan tetapkan pandangan mata kepada satu objek yang tidak bergerak pada sudut 45 darjah ke atas
· Elakkan memandang keluar pesawat.
· Tidak membaca atau menggunakan komputer.
· Makan jangan terlalu kenyang. Jika lapar dapatkan snak untuk mengalas perut.
Semoga nasihat ini memberi manfaat kepada semua jemaah haji yang akan berangkat ke Tanah Suci atau pulang ke Tanah Air
Wednesday, December 17, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Friday, December 05, 2008
Air Zamzam sebagai ubat
''Tak makan ubat pun takpa, Air Zamzam kan ada" jawab seorang jemaah semsa mendapat rawatan di klinik Maktab.
"Pak Cik dah seminggu tak makan ubat!'' Ujar seorang lagi jemaah.
''Nak test...Ustaz kata Air Zamzam tu ubat segala ubat'' Tambahnya lagi dengan penuh yakin.
“Tapi..saya periksa tekanan darah Pak Cik dan paras gula ni tinggi sangat.” Aku mula sangsi dengan jemaah yang berkata demikian.
Apa bentuk nasihat yang patut aku berikan kepada jemaah haji sebegini. Mengiyakan pegangan mereka seolah-olah membiarkan mereka ingkar dari memakan ubat Kencing Manis atau Darah Tinggi. Menidakkan fahaman yang mereka pegang, seolah-olah menolak sabdaan Nabi mengenai khasiat Air Zam-zam! Malah ada diantara mereka yang meninggalkan terus dari memakan ubat penyakit kronik yang mereka alami sepanjang hidup mereka. Kefahaman yang mereka perolehi ini menyulitkan pihak perubatan untuk member nasihat dan memberi hujah yang kukuh. Mengakibatkan penyakit yang mereka alami sebelum ini menyerang kembali dan akhirnya mengganggu ibadah haji dan umrah yang mereka tunaikan. Air Zamzam ada disegenap tempat di Tanah Suci. Memperolehinya begitu senang sekali samada di hotel tempat menginap mahupun di dalam Masjidil Haram. Pendek kata jika ubat kencing manis yang sepatutnya dimakan tiga kali sehari boleh ditukar begitu sahaja dengan Air Zamzam bergelas-gelas, lebih dari tiga.
Keyakinan Air Zamzam Sebagai Ubat.
Tidak dinafikan bahawa Air Zamzam mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sehingga Nabi pernah menyebut akan keistimewaan ini.
ماءزمزم لماشرب له
Ertinya: Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Kelebihan ini tidak akan diperolehi pada air lain diatas dunia ini. Seorang pengkaji bernama Tariq Husin pernah mengkaji kelebihan air zam zamzam ini. beliau menyatakan bahawa air Zamzam ini mengandungi garam mineral seperti kalsium dan Magnesium yang tinggi. Sesuai untuk jemaah haji mengerjakan kerja-kerja haji dan Umrah. Amat menakjubkan juga Air Zamzam mengandungi florida dan klorin yang paling sesuai untuk semua makhluk . Sedangkan air Zamzam ini adalah air yang asli, tidak pernah dirawat atau diproses oleh teknologi terkini.
Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata:
"Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."
Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas:
"Maknanya, barangsiapa yang minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang saleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).
Al- 'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah pula berkata:
"Saya dan juga orang-orang lain sudahpun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."
Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)
Air Zamzam tiada keistimewaan jika tidak berusaha
Meminum air zamzam untuk mendapatkan manafaat dunia atau akhirat tidak akan berhasil jika tidak kena cara dan tidak mematuhi konsep memohon sesuatu permintaan. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga dengan berubat, ia tidak akan berhasil tanpa melakukan usaha lain. Kalau betul kita merasakan cukup dengan air zamzam sahaja boleh menyembuhkan penyakit, Kerajaan Arab Saudi sepatutnya mengharamkan hospital dan farmasi. Malah Kacip Fatimah dan Minyak Dhab tidak perlu dijual di Bukit Uhud. Air zamzam boleh menyembuhkan penyakit dengan izin Allah. Jika Allah tidak izinkan penyakit kita sembuh minum selori air zamzam pun penyakit kita takkan sembuh. Begitu juga dengan ubat-ubatan, tidak akan sembuh melainkan dengan izin Allah Taala. Jangan kita jatuh syirik dengan mengatakan dengan makan ubat-ubatan atau minum air zamzam boleh menyembuhkan penyakit.
Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim
...Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali......
Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah tersebut.
Konsep ini sama juga dengan permohonan-permohonan lain semasa meminum air zam-zam. Cuba lihat apa yang dinukilkan oleh Imam Al-Jalal Assayuti;
"Dengan memuji Allah Ta'ala, saya sudah musafir ke negeri-negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. Apabila saya menunaikan haji, saya telah minum air Zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya sampai (mahir) dalam ilmu fiqeh sehingga mencapai mertabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini. Dalam ilmu hadis sehingga saya mencapai mertabat al-Hafiz lbnu Hajar." (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).
Imam As Sayuti tidak menjadi ulamak besar semata-mata dengan meminum air zamzam, tetapi perlulah disusuli dengan mengadap guru, menelaah kitab dan mengikuti perbincangan ilmiah. Ilmu tidak datang bergolek tanpa usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal. Air Zamzamlah sebagai pemacu kepada usaha dan ikhtiar itu.
Inilah ulasan saya ketika bersemuka dengan jemaah haji yang mmeberikan alasan meminum Air Zamzam menggantikan ubat biasanya.
Friday, December 05, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Sunday, November 30, 2008
Nasihat dalam perjalanan Menunaikan Haji
Nak bersanam lagu mana doktor dalam kapal terbang?" Tanya seorang jemaah dengan nada terkejut apabila saya menerangkan kepentingan bersenam dalam kapal terbang.
Senaman ini penting bagi mengelakkan satu penyakit yang diberi nama "deep vein thrombosis (DVT)". Apabila pergerakan kurang dalam keadaan kita lama duduk dikerusi, dibimbangi pergerakan darah kita menjadi lambat dan akhirnya menjadi gumbalan darah beku terutama dibahagian kaki. Saluran vena akan tersumbat dan kaki yang terkena DVT akan menjadi kemerahan dan sakit. Bagi jemaah yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, sakit paru-paru, barah, mempunyai sejarah keluarga mengidap DVT, mengambil pil hormone, baru menjalani pembedahan, baru terlibat dalam kemalangan yang melibatkan bahagian kaki atau mengalami masalah sistem pembekuan darah, adalah golongan yang berisiko tinggi diserang DVT.
Beberapa langkah boleh dilakukan oleh jemaah semasa berada dalam penerbangan:
- Memakai stokin (elastic compression stockings). Sila bertanya doctor untuk keteragan lanjut.
- Memakai pakaian yang longgar
- Meminum banyak air semasa penerbangan.
- Bangun dan melakukan regangan tangan dan kaki setiap 2 jam (Lihat gambarajah tatacara melakukan regangan dalam kapal terbang).
- Elakkan bersila semasa duduk atas kerusi.
- Berjalan-jalan dalam kapal terbang sekerap yang mungkin.
Senaman semasa perjalanan jauh
Senaman ini bertujuan melancarakan perjalanan darah dan mengelakkan kekejangan otot.
1. Duduk tegak semasa ingin memulakan senaman.
2. Rehatkan kaki anda ke lantai. Gerakkan hujung kaki ke atas dan ke bawah beberapa kali.
3. Bongkokkan sedikit badan dan rangkul lutut anda. Dengan perlahan dakap lutut ke arah dada, bertahan beberapa saat dan lepaskan. Letakkan semula kaki anda ke lantai. Lakukan perkara yang sama pada kaki satu lagi. Ulang aktiviti tersebut sebanyak lima kali bagi setiap kaki.
4. Pegang paha anda dan angkat sedikit separas dada. Kemudian pusing hujung kaki anda seperti gambarajah. Lakukan pusingan selama lima saat. Ulang aktiviti tersebut pada kaki yang berikutnya. Sesi ini dilakukan sebanyak 5 kali.
*Jika anda merasakan tidak selesa melakukan senaman ini atau mengalami kesakitan, sila berhenti dengan segera2.
Sunday, November 30, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 1
Panduan Kesihatan Jemaah Haji 1
Ibadah Haji adalah ibadah yang memerlukan kekuatan tenaga dan ketahanan mental. Buktinya adalah segala rukun dan wajib haji berbentuk pergerakan fizikal, bukannya bacaan kecuali niat. Di sini beberapa panduan kesihatan untuk petugas atau jemaah haji yang ingin menunaikan haji di Mekah. Semoga anda semua memperolehi manafaat darinya.
Vaksin / Pelalian
Kerajaan Arab Saudi telah mensyaratkan semua jemaah yang ingin mengerjakan haji mengambil beberapa suntikan vaksin / pelalian. Vaksin yang wajib diambil oleh semua jemaah haji yang datang dari pelusuk dunia adalah Vaksin Meninggococcal. Selain dari itu beberapa vaksin lain yang digalakkan seperti, Vaksin Influenza, Vaksin Pneumococcal, Hepatis, dan Tifoid (Demam Kepialu). Pihak Tabung Haji telah mewajibkan kepada bakal jemaah haji mengambil Vaksin Meninggococcal. Malah jika anda tidak mengambil vaksin ini, pihak Tabung Haji berhak untuk tidak membenarkan anda mengerjakan haji pada tahun tersebut. Vaksin lain adalah pilihan yang digalakkan oleh pihak Tabung Haji.
Vaksin Meninggococcal adalah diwajibkan bagi menghalang jangkitan kuman yang diberi nama Neisseria meningitides1. Kuman ini mendatangkan penyakit yang boleh membawa maut kepada pengidapnya. Jangkaan kematian bagi orang yang telah dijangkiti adalah 10%. Ini adalah salah satu ikhtiar kita untuk menghindarkan diri dari terkena jangkitan kuman ini. Dalam jutaan manusia yang datang dari seluruh dunia, pelbagai virus atau kuman boleh berjangkit. Begitu juga dengan kuman Neisseria Meningitidis ini. Ia boleh merebak melalui pernafasan atau cairan tubuh badan. Orang yang dijangkiti oleh kuman ini akan mengalami demam yang tinggi, ruam seluruh badan, sakit sendi dan boleh menyebabkan koma.
Vaksin ini baik diambil dalam masa 4 hingga 6 minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kekuatan perlindungan vaksin ini dijangka sehingga dua tahun setelah mendapat suntikan.
Vaksin Influenza pula bagi melindung diri kita dari Virus influenza. Virus ini boleh menyebabkan demam selsema yang teruk dan senang berjangkit sesama jemaah. Virus influenza ini juga boleh mendatangkan mudarat kepada jemaah yang berumur lebih dari 60 tahun atau mempunyai penyakit kronik seperti Kencing Manis. Ia boleh menyerang paru-oaru mengakibatkan batuk dan demam yang berpanjangan. Walaubagaimana pun demam selsema boleh diakibatkan juga oleh pelbagai kuman lain yang tidak mendatangkan mudarat yang teruk kepada jemaah. Kebiasaanya demam selsema sebegini akan berlarutan sehingga tiga atau empat hari sahaja. Bagi jemaah yang sudah menghidapi penyakit resdung, demam selsema senang terjadi kepada mereka. In berpunca dari perubahan cuaca di Tanah Suci yang beriklim ekstrim (panas dan kering keterlaluan, sejuk dan kering keterlaluan). Perbezaan iniamat ketara dengan Negara kini yang beriklim panas dan lembab.
Vaksin Pneumokokal sesuai juga diberikan kepada jemaah yang berumur 60 tahun ke atas atau jemaah yang memnpunyai masalah penyakit kronik. Kuman ini senang menjangkiti jemaah yang rendah sistem pertahanan badan. Sesiapa yang dijangkiti kuman ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), Serangan selaput otak (Meningitis) dan kuman merebak keseluruh badan (Bacteremia)3. Dianggarkan 1 dari 20 orang yang telah dijangkiti kuman Pneumokokal akan meninggal dunia. Justeru itu amat digalakkan jemaah haji mengambil suntikan ini sebagaisalah satu jalan ikhtiar kita semasa berada di Tanah Suci.
Sunday, November 30, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0
Sunday, November 16, 2008
Perdarahan Lepas Putus Haid adalah darah Penyakit
"Jadi apa masalahnya?" Soalan pertamaku.
"Datang balik la...Ustazah arahkan akak datang jumpa doktor, darah haid ka? darah penyakit?" Ujar Akak dengan penuh pengharapan dan jawapan yang pasti. Kerana ini boleh menjejaskan ibadah Haji atau Umrah yang akan di jalankan oleh Beliau
Lanjutan dari itu....aku menghuraikan mengikut sekelumit ilmu yang ada sebegini. Jika ada yang tak kena sila perbetulkan
Putus Haid (Menopause) adalah satu keadaan di mana ketiadaan perdarahan haid secara kekal bagi seorang wanita . Ia adalah proses biasa yang berlaku bagi seseorang wanita apabila sampai tempoh yang tertentu. Setiap wanita yang mempunyai sistem peranakan akan mengalami fenomena ini setelah sistem ovari dalam badan sudah berkurangan.
Majoriti pakar perubatan mendefinasikan putus haid adalah dimana seseorang wanita yang tidak didatangi haid secara bulanan selama lebih dari setahun (akan dibincangkan lagi dalam artikel ini). Ianya boleh disahkan lagi dengan mengalami tanda-tanda wanita yang putus haid seperti panas badan, sakit sendi, berpeluh malam, sukar tidur dan fikiran gelisah. Pengesahan secara makmalnya apabila paras salah satu dari hormon kesuburan wanita terlalu tinggi. Hormon tersebut diberi nama Follicular Stimulating Hormone (FSH).

Secara ilmiah, kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual dibawah menunjukkan umur dan peratus wanita yang kebanyakannya putus haid. Peratus ini hasil dari kajian dipelbagai benua dan geografi.
Umur Putus Haid % wanita
35—40 tahun (11.87%)
40—45 tahun (25.97%)
45—50 tahun (41.03%)
50—55 tahun (14.58%)
sebelum 35 atau selepas 55 tahun (6.54%)
Majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah diantara 45 hingga 55 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
Para ulamak berbeza pendapat mengenai umur wanita yang putus haid ini. Berdasarkan kajian danpemerhatian semasa pada waktu itu Ad-darimi menyimpulkan bahawa bilamana sesorang wanita didatangi darah samada berumur belum mencapai 9 tahun atau diatas 50 tahun, ia bererti darah haid juga. Sebab Allah Subhanahuwa Taala dan RasulNya mengaitkan hukum-hukum haid pada kehadiran darah tersebut.
Pendapat Imam Syafie pula menyatakan bahawa tiada tempoh usia wanita putus haid. Pendapat ini mungkin berdasarkan uruf semasa pada ketika itu atau mengambil bukti sirah isteri Nabi Allah Ibrahim yang masih boleh melahirkan anak (Nabi Allah Ismail) walaupun sudah lanjut usia. Walaubagaimanpun pendapat Imam Hanafi, Hambali dan Maliki berbeza, dan menentukan tempoh usia wanita putus haid. Sedangkan jarak perbezaan zaman pada ketika itu tidaklah terlampau jauh. Semoga Allah merahmati mereka semua dalam menyatakan pandangan dan pendapat.
Tulisan ini pula bukan ingin menyanggah apa yang telah dinyatakan oleh para ulamak, tetapi ingin menyatakan beberapa pandangan terkini berdasarkan bukti-bukti kajian ilmiah mengenai wanita yang putus haid.
Kenapa wanita didatangi haid dan putus haid.
Sebelum kita melanjutkan perbincangan fekah mengenai hukum wanita yang telah putus haid dan beberapa masalah yang berkaitan dengannya, marilah terlebih dahulu kita memahami apakah yang dikatakan kitaran bulanan haid wanita dan kenapa haid terhenti pada usia tertentu.
Wanita mempunyai sekurang-kurangnya empat hormon penting bagi mengimbangi kitaran bulanan haid mereka. Hormon tersebut adalah Follicular Stimulating Hormon (FSH), Leutinizing Hormon (LH), Progesterone dan Estrogen. FSH dan LH berfungsi untuk membina telur (ovum) yang terdapat dalam kilang telur (ovari) membesar dengan subur dan matang sebelum ia pecah untuk disenyawakan oleh sperma lelaki . Progesteron dan Estrogen pula berfungsi untuk membina dinding peranakan wanita, subur untuk perletakan benih yang telah disenyawakan. Untuk pengetahuan bersama, hormon Progesteron dan Estrogen ini juga penting untuk menjaga keseimbangan fizikal dan mental seseorang wanita. Kulit wanita akan kelihatan cantik dan gebu akibat dari hormon Progesteron dan Estrogen. Begitu juga dangan emosi seseorang wanita dipengaruhi oleh hormon ini.
Hormon FSH dan LH dirembeskan dari kilang Pituatari yang terletak dalam rongga otak. Rembesan ini pula bergantung kepada signal negatif yang diperolehi dari Hormon Progesteron dan Estrogen yang dirembeskan dari kilang telur itu sendiri. Maksudnya jika telur tidak disenyawakan, tiada percambahan benih yang melekat pada dinding peranakan, hormon progesteron dan estrogen akan menurun secara mendadak. Menyebabkan signal akan dihantar ke kilang Pituatari untuk merembeskan FSH dan LH bagi kitaran pembentukan ovum yang kedua bagi bulan berikutnya. Semasa penurunan progesterone dan estrogen mendadak inilah dinding peranakan yang subur tadi berdarah yang kita namakan darah haid. Tujuan perdarahan tadi supaya penyediaan untuk pembinaan sel-sel baru bagi kitaran bulan yang berikutnya. Indahnya kejadian Allah Taala bagi manusia yang berfikir!
Seumur hidup seseorang wanita berupaya mengeluarkan telur sebanyak 400 ribu biji. Pengeluaran ini bergantung terus kepada hormon yang dinyatakan di atas. Proses pengeluaran ini agak kompleks dan hanya Allah SWT sahaja mengetahui secara mendalam. Walaubagaimanapun tidak semua telur akan mencapai tahap kematangan dan disenyawakan. Kajian menyatakan hanya 400 telur sahaja matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan . Dalam satu kitaran, hanya satu telur sahaja akan matang dan dikeluarkan untuk persenyawaan. Telur yang masih berbaki, yang dalam proses kematangan akan terhenti tumbesaran setelah hormon-hormon di atas berkurangan. Ada kedapatan telur yang belum matang tadi akan matang pada kitaran yang berikutnya, dan ada di antaranya akan terbantut terus.
Apa yang terjadi semasa proses menopos (putus haid) ialah, telur-telur tadi sudah berkurangan dan ada yang tidak mencapai tahap kematangan untuk dikeluarkan dari kilang telur. Ini mengakibatkan kitaran haid bagi seorang wanita yang hampir putus haid tidak menentu. Pada masa yang sama hormon-hormon FSH, LH, Progesteron dan Estrogen juga akan mengalami gangguan perembesan.
Pada saat inilah wanita akan mengalami beberapa kecelaruan seperti cepat marah, sukar untuk tidur, sentiasa merasakan panas badan, sakit urat sendi dan nafsu berkurangan . Fenomena ini akan berlaku pada wanita bergantung kepada tahap ketahanan badan masing-masing. Wanita yang tidak dapat mengatasi perubahan kehidupan ini diberi pilihan untuk mengambil pil yang dinamakan Terapi Hormon Gantian (Hormon Replacement Therapy) .
Sesetengah wanita akan mengalami kecelaruan ini sehingga bertahun-tahun dan sebahagian darinya akan mengalami beberapa bulan sahaja. Malah ada di antara mereka tidak akan merasai perubahan ini secara ketara . Yang pasti mereka akan mengalami gangguan kitaran haid dan akhirnya haid akan terhenti.
Makna Putus Haid (Menopos)
Terdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid. Pendapat yang pertama adalah enam bulan dan pendapat kedua adalah selepas satu tahun dari haid yang terakhir.
Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.
Perdarahan selepas Putus Haid (Menopos)
Timbul beberapa hukum fekah yang berkaitan dengan perdarahan yang berlaku selepas putus haid. Penelitian ulamak dalam masalah ini masih belum selesai dan diperbincangkan dalam pelbagai forum.
Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya 5% wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid. Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan. Darah penyakit ini berpunca dari beberapa sebab seperti dibawah :
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan virus.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu.
3. Pengencutan vagina
4. Pembengkakan rahim.
5. Barah Rahim, pangkal rahim atau barah Ovari (Kilang Telur)
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim.
Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah Barah Rahim. Lima hingga 10% perdarahan selepas putus haid adalah berpunca dari Barah Rahim. Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui Barah Rahim ini. Antara ujian ringkas yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah Ultra Sound sistem Peranakan. Melalui ujian Ultra Sound ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.
Rujukan
- Menopause. Dicapai melalui http://en.wikipedia.org/wiki/Menopause pada 10-Nov-08
- Marie Carmichael Stopes. Change Of Life in Men And Women. Dicapai Melalui Http://Www.Geocities.Com/Menobeyond/Age.Html#1 Pada 10-Nov-08
- Muhammad bin Shaleh Al-‘Uthaimin. Usia dan Masa Haid. Darah Kebiasaan Wanita. Islamic Propogation Office in Rabwah, Riyadh.
- The Reproductive System di perolehi dalam talian http://library.thinkquest.org/2935/Natures_Best/Nat_Best_Low_Level/Reproductive_page.L.html#female_repro pada Tuesday, November 11, 2008
- Berbagai Ukuran Seputar Seks dan Organ Reproduksi. Di capai melalui http://www.hanyalelaki.com/mod.php?mod=publisher&op=viewarticle&artid=140 pada 13 November 2008
- Menopause. Dicapai melalui http://menopause.emedtv.com/menopause/menopause.html pada November 14, 2008
- Menopause. Dicapai melalui http://www.healthywomen.org/healthtopics/menopause pada November 14, 2008
- Postmenopausal Bleeding. http://www.patient.co.uk/showdoc/40024599/
- KATHLEEN A. ORIEL, SARINA SCHRAGER. Abnormal Uterine Bleeding. Dicapai melalui http://www.aafp.org/afp/991001ap/1371.html
Sunday, November 16, 2008 by Dr Suhazeli bin Abdullah · 0















