Followers
Saturday, September 15, 2007
Ramadan bulan ibadah
Do you like this story?
Apabila masuk Ramadhan ulama'-ulama' Islam memberi tumpuan khusus kepada menambahkan amal dan tilawah al-Quran. Imam Malik meninggalkan pengajian hadis dan memberi tumpuan kepada tilawah al-Quran. Begitu juga dengan Imam Syafiee. Beliau sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.
Sesungguhnya Ramadhan bulan amal! Bulan Tilawah al-Quran! Bulan menundukkan hawa nafsu! Bulan qiamulail! Bulan pohon taubat! Bulan ZikruLlah! Bulan sedekah! Bulan iktikaf! Bulan mencari lailatul qadar!
Ramadhan seharusnya berbeda dengan bulan-bulan yang lain. Sebelas bulan sebelumnya kita bergelumang dengan pelbagai dosa-dosa. Makanya inilah peluang untuk kita untuk mendapatkan keampunan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh iman dan ikhlas, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
Kita diajar oleh Rasulullah agar sentiasa membaca doa "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi maaf, maka maafkan daku" dalam bulan Ramadhan. Kita juga diajar agar sentiasa memohon Syurga dan meminta dijauhi azab Neraka.
Dalam bulan ini Jibril mendatangi Rasulullah untuk membaca al-Quran. Maka adalah sangat-sangat dituntut agar kita memperbanyakkan tilawah al_Quran dalam bulan ini. Paling kurangnya kita dapat mengkhatam al-Quran sekali dalam bulan Ramadhan. Alangkah baiknya jika kita dapat melaksana tadarrus al-Quran di masjid-masjid. Sesungguhnya orang yang mendengar seseorang membaca al-Quran dikira sebagai pembaca al-Quran jua. Pahala membaca al-Quran ini sangat besar, apatah lagi jika di baca dalam bulan yang penuh barakah ini.
Ramadhan adalah bulan qiamulail. Nabi mengikatkan kainnya dan bangun sembahyang malam sehingga bengkak kakinya. Pada 10 akhir Ramadha nabi tidak keluar dari masjid kecuali kerana keperluan asas seperti berhadath. Pada zaman khulafa arrasyidin sahabat-sahabat berselerak dengan kumpulan masing-masing dimasjid, masing-masing bersembahyang tarawih selepas waktu Isya'. Melihat keadaan ini, Saidina Omar mencadangkan agar semua sahabat berkumpul dengan seorang imam sahaja. Oleh itu kita hendaklah memperbanyakkan bertarwih dan qiamulail dalam bulan yang mulia ini.
Diberitakan bahawa amal Nabi s.a.w. sungguh luar biasa dalam bulan Ramadhan. Antaranya ialah sedekah. Nabi bersedekah umpama angin berlalu. Nabi sungguh pemurah dan tidak pernah mengecewakan orang fakir miskin. Hendaklah kita mengamalkan sunnah ini. Bahkah seteguk air yang kita berikan kepada orang yang berbuka, pahalanya akan kita perolehi seperti pahala orang yang berpuasa itu! Apakah kita menolak tawaran besar ini??
Sesungguhnya semua amal-amal ini menjuruskan kepada satu matlamat: BERTAQWA kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Wahai orang-orang beriman, berpuasalah kamu seperti mana orang terdahulu berpuasa, moga-moga kamu bertaqwa.
Apabila kita bertaqwa maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Taqwa juga dapat menjauhkan kita dari azab Api Neraka dan memasukkan kita ke Syurga . Dengan taqwa kita dapat menentukan mana yang hak dan mana yang batil. Taqwa dapat mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia. Rezki yang tidak disangka-sangka akan diperolehi untuk orang yang bertaqwa. Taqwa memberi kebaikan dunia dan Akhirat Benarlah Firman Allah yang bermaksud:
Berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bekalan taqwa.
This post was written by: Suhazeli Abdullah
Suhazeli Abdullah is a Medical profession and professional blogger, web designer and front end web developer. Follow him on Facebook
0 Responses to “Ramadan bulan ibadah”
Post a Comment